Syed Saddiq bangkit kompaun dwistandard

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang Ahli Parlimen pada Isnin membangkitkan isu tindakan dwistandard dalam mengenakan kompaun terhadap pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk mencegah penularan Covid-19.

Perkara itu dibangkitkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang mempersoalkan perbezaan jumlah kompaun sebanyak RM3,000 dikenakan terhadap wanita warga asing yang cuba memasuki premis perniagaan tanpa memakai pelitup muka.

"Kenapa saya bangkitkan isu ini kerana apabila ada seorang anak muda yang hanya menurunkan pelitup muka dalam tempoh masa yang singkat terus dikenakan saman RM10,000.

"Peniaga Melayu di luar bandar dikenakan saman RM50,000. Saya tahu akan ada pihak kerajaan berkata, Syed Saddiq ini adalah undang-undang, kita bukan lagi dalam situasi darurat,” katanya.

Membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat pada Isnin, Syed Saddiq turut membangkitkan pelaksanaan ‘undang-undang dua darjat’ untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila mendakwa ahli-ahli tertinggi Perikatan Nasional (PN) boleh berkempen secara terbuka dengan program besar-besaran tanpa dikenakan tindakan.

Sebaliknya, ahli Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) dikenakan kompaun RM4,000 selepas mengadakan sidang media ‘patuh SOP’ dan hanya melibatkan lima ahli parti itu, katanya

Seramai 12 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada hari pertama perbahasan Bajet 2022 selepas dibentang Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Jumaat.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung pada Selasa. - Bernama

Artikel Berkaitan: