X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Platform eAGRO bantu pekebun kecil tingkatkan hasil pengeluaran

Ronald (tengah) pada majlis pelancaran eAGRO di UPM, Serdang pada Isnin.
A
A

PLATFORM dalam talian eAGRO bakal membantu pekebun kecil dengan meningkatkan kelancaran penghantaran produk input pertanian, dalam masa sama menggalakkan ketelusan harga antara pekebun kecil, penjual dan pengeluar produk input pertanian.

Pengerusi Eksekutif eAGRO, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail berkata, platform tersebut bagi meningkatkan akses terhadap produk input pertanian berkualiti untuk pekebun kecil meningkatkan hasil pengeluaran, seterusnya memberi manfaat kepada negara.

“Kami sentiasa mengutamakan keperluan pekebun kecil agar mereka mendapat akses terhadap produk dan peralatan berkualiti untuk meningkatkan produktiviti tanaman mereka.

“Kami ingin menghubungkan para pekebun kecil yang merupakan tulang belakang industri pertanian di Malaysia dengan penjual dan peruncit melalui platform ini agar mereka boleh mendapatkan produk dan peralatan berkualiti. Ini secara langsung akan meningkatkan prestasi ekonomi pekebun kecil,” katanya ketika majlis pelancaran eAGRO di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada Isnin.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Sementara itu, beliau berkata, antara produk input pertanian yang terdapat pada platform dalam talian eAGRO ialah pek benih, anak pokok, baja, antibiotik, vaksin ternakan, makanan ternakan, makanan ikan dan peralatan pertanian.

Katanya, mereka juga boleh memilih untuk produk tersebut dihantar terus ke rumah atau mengambilnya di mana-mana kedai berhampiran selepas pesanan berjaya dibuat secara dalam talian.

Sementara itu, Ronald berkata, kemudahan platform seperti eAgro bertepatan dengan strategi utama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam memperluaskan adaptasi teknologi sistem makanan sebagai langkah pragmatik meningkatkan kecekapan dan produktiviti sistem berteraskan skala ekonomikal serta pertanian mampan.

“Kementerian juga giat memperluas dan memperkasa pemasaran hasil pertanian khususnya melalui platform e-commerce yang telah dikenal pasti dan bersesuaian untuk mempertingkatkan kebolehpasaran serta kebolehdapatan hasil pertanian bagi pasaran domestik, seterusnya ke pasaran antarabangsa.

“Dalam usaha mengukuhkan sekuriti makanan di negara ini dan meletakkan Malaysia di tangga teratas dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI), semua pihak termasuk sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat harus berganding bahu untuk menjadikannya satu realiti.

“eAGRO menyokong semangat Keluarga Malaysia yang menggalakkan inklusiviti dan jalinan kerjasama demi manfaat pekebun kecil. Saya berhasrat dapat menyaksikan impak positif eAGRO terhadap industri pertanian di negara ini,” ujar beliau.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!