BN ‘utuh’, tapi ‘dok rok cetong’

A
A
A

*WALAUPUN setelah dua jam setengah bermesyuarat, tidak ada sebarang keputusan sama ada BN hendak dibubarkan atau tidak.

Mesyuarat pertama Dewan Tertinggi BN yang diadakan sejak Tsunami 9 Mei tahun lalu, dihadiri oleh pemimpin UMNO, MCA dan MIC tidak mencapai kata sepakat mengenai kedudukan gabungan tersebut.

MCA yang sejak awal beria benar mahu BN dibubarkan, tetapi Pemangku Pengerusi BN, Mohamad Hasan, memberitahu wartawan selepas mesyuarat itu: “Kami masih utuh.”

Perihal BN utuh atau tidak masing-masing ada persepsi tersendiri. Dulu ada 14 parti komponen, semua orang kata kuat dan perkasa. Kini tinggal tiga komponen, dan jelas tidak perkasa lagi. Bagi sesetengah orang, dengan hanya tiga parti gabungan, BN macam telah bubar, “dok rok cetong.”

*DATUK Seri Abdul Hadi Awang berkali-kali menegaskan beliau tidak membayar apa-apa kepada Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dalam penyelesaian kes saman di luar mahkamah.

“Saya atau Pas tidak pernah membayar RM1.4 juta kepada Clare untuk selesaikan kes di luar mahkamah,” kata Presiden Pas itu seperti yang dipetik media.

Sebelum ini beberapa pemimpin kanan parti itu juga memberitahu tidak ada sebarang pembayaran dibuat berhubung isu tersebut. Seyogia diingat sama ada Hadi atau pun pemimpin-pemimpin Pas yang lain, mereka memang bercakap benar...

Sebab yang membayar RM1.4 juta itu bukan Hadi, tidak juga Pas, tetapi orang lain. Menurut Clare orang yang membayar – dengan cek – RM1.4 juta itu ialah Rameli Musa.

Artikel Berkaitan:

Maka sepanjang yang berhubung bayaran RM1.4 kepada Clare itu, Tuan Guru sah tidak berbohong.

*PERKARA yang kita tidak suka lihat dan tidak mahu dengar – dan ada unsur-unsur menghina – telah ditularkan di media sosial baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Felcra Bhd menengking dan marah-marah sekumpulan pekerja di sebuah ladang kepala sawit. Dalam klip sepanjang kira-kira seminit itu, nampak sangat keangkuhan pegawai berkenaan.

Sebagai respons kepada klip video menengking itu, agensi tersebut memaparkan pula video mengenai kenyataan seorang kakitangan wanita dipercayai merupakan individu yang kena tengking.

Dalam klip itu wanita berkenaan berkata, ‘tengking’ sudah menjadi perkara lumrah bagi pekerja industri perladangan. “Itu biasa, tak ada apa-apa pun...”

Tetapi orang ramai tidak melihat itu sebagai perkara biasa. Tengking-tengking dan angkuh bukan amalan yang sepatutnya. Seperti yang diluahkan @ladydarshankaur yang memuat naik klip video menengking itu:

“Akhlak seorang pemimpin yang baru 4 bulan dilantik menjadi Chief Operating Officer/Executive Officer Felcra Berhad. Inilah kualiti pemimpin lantikan Kerajaan Pakatan Harapan. Nilaikan sendiri.”

*DALAM satu persidangan antarabangsa seorang wartawan akhbar Jerman ‘Berliner Morgenpost’ bertanya: “Adakah Malaysia selamat untuk pengamal homoseks?” Jawapan yang diberikan ialah: “Di Malaysia tidak ada homoseks...”

Ada pun yang memberi jawapan itu tak lain tak bukan ialah Datuk Mohamaddin Ketapi, Menteri Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan. Menteri berkenaan agaknya tidak arif tentang homoseks. Dia tidak tahu apa-apa tentang amalan songsang itu. Pada hal seluruh dunia tahu di tempat kita ada kes homoseks yang dibawa hingga ke mahkamah. Maka jawapan menteri itu bahawa di “Malaysia tidak ada homoseks”, memang menjadi lawak dunia!

*AKHIR kalam, kita akan ada kereta terbang? Itu cita-cita Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Md Yusof yang menyebut prototaip kenderaan tersebut sedang dibuat.

Menurut Timbalan Menterinya, Dr Hatta Ramli, Malaysia perlu mendahului negara lain dalam pembangunan kereta terbang. Kata Dr Hatta, seperti yang dipetik media: “Saya seronok dalam isu kereta terbang ini ia menimbulkan keterujaan rakyat. Ini satu cadangan yang luar biasa...”

Adakah ini juga satu lawak? Mungkin ini idea luar biasa. Tetapi saya tidak terfikir rakyat teruja. Apa yang jelas setakat ini ramai yang mengkritik idea kereta terbang.

Lebih baik kita fikirkan dan usahakan dulu isu-isu yang lebih mendesak dan saban hari menjadi keluhan rakyat. Ketika sana-sini orang merintih dengan pelbagai masalah hidup, kereta terbang adalah perkara terakhir yang ada dalam angan-angan rakyat.

Tidak kira betapa hebat dan bergeliganya sesebuah idea, kita hendaklah berpijak di bumi nyata!

TOK PERAK