DBKL kuat kuasa garis panduan jualan minuman keras bermula hari ini

DBKL mula menguatkuasakan Garis Panduan dan Syarat-Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras (Liquor Yang Memabukkan) bermula Isnin.
DBKL mula menguatkuasakan Garis Panduan dan Syarat-Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras (Liquor Yang Memabukkan) bermula Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mula menguatkuasakan Garis Panduan dan Syarat-Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras (Liquor Yang Memabukkan) bermula Isnin.

Unit Media DBKL dalam satu kenyataan berkata, sebelum ini penguatkuasaan garis panduan berkenaan ditangguhkan selama sebulan pada Oktober lalu.

Menurut kenyataan itu, dalam tempoh penangguhan tersebut, DBKL mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti persatuan pengilang, pembotol dan peruncit, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) serta ahli-ahli Parlimen bagi kawasan Kuala Lumpur.

"Kesemua pihak berkaitan menyuarakan pandangan serta keprihatinan masing-masing terhadap perkara ini.

"Setelah mengambil pandangan semua pihak yang terlibat, DBKL mengambil pendekatan memperkemas dan memperhalusi garis panduan sedia ada, " menurut kenyataan itu pada Isnin.

Susulan itu, DBKL berkata, garis panduan baharu tersebut mesti dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat dalam industri berkenaan.

Menerusi garis panduan lesen minuman keras (LMK) yang diedarkan oleh Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL, jenis aktiviti perniagaan yang dimestikan memohon lesen tersebut terdiri premis yang menjual atau menghidangkan arak.

Ia termasuk bar atau pub atau lounge, restoran, gudang atau stor dan semasa acara atau promosi yang menghidangkan minuman keras tersebut.

Artikel Berkaitan:

Had masa operasi yang dibenarkan adalah 10 pagi hingga 12 malam di Rumah Awam Kelas 1 (pub, bar, lounge, restoran) dengan

permohonan lanjutan masa maksimum LMK boleh dipohon sehingga jam 2 pagi sahaja.

Bagi penjualan borong dan runcit pula, waktu operasi dibenarkan bermula 7 pagi hingga 9 malam manakala pemegang lesen sementara operasinya mengikut kelulusan dibenarkan.

Kesemua waktu operasi tersebut adalah merujuk kepada Peraturan-Peraturan Eksais (Penjualan Liquor) 1977 Akta Eksais 1976.