ASEAN wajar kekalkan Erywan sebagai Duta Khas Myanmar

Erywan Mohd Yusof - Foto Bernama
Erywan Mohd Yusof - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedudukan Menteri Luar II Brunei, Erywan Mohd Yusof, sebagai Duta Khas ASEAN ke Myanmar wajar dikekalkan meskipun selepas kerusi Pengerusi diambil alih Kemboja pada tahun depan.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, adalah penting bagi pejabat Sekretariat badan serantau itu mengekalkan kedudukan Erywan untuk mempermudah usaha dan meneruskan tugas terutamanya mengakhiri keganasan di Myanmar serta merintis jalan ke arah mengadakan dialog antara tentera dan pihak lawan di negara yang dilanda krisis itu.

“Saya lebih suka jika ASEAN kekal dengan Duta Khas yang sama, supaya kerja-kerja dapat diteruskan. Lebih-lebih lagi beliau (Erywan) dilantik sebagai Duta Khas untuk Pengerusi ASEAN.

“Tidak apalah kerusi pengerusi berpindah ke Kemboja, tetapi demi kesinambungan...biarlah beliau meneruskan tugasnya kerana beliau sudah mengadakan beberapa mesyuarat dengan Menteri Luar Myanmar Wunna Maung Lwin,” kata Saifuddin pada sidang media di Kementerian Luar pada Isnin.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, penyertaan pemimpin awam Aung San Suu Kyi dalam mesyuarat itu penting bagi membolehkan langkah seterusnya diambil berhubung isu melibatkan Myanmar.

Beliau berkata, ketua setiausaha kementerian juga telah memaklumkan bahawa Pengerusi ASEAN yang baharu pada tahun depan akan mengadakan Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) ASEAN bagi membincangkan dengan lebih lanjut berhubung langkah seterusnya mengenai isu Myanmar.

Tambah beliau, junta tentera perlu memberi menjamin keselamatan kepada sukarelawan yang memberikan bantuan kemanusiaan untuk memasuki Myanmar dan membantu penduduk.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 yang berakhir Khamis lepas, bersidang tanpa penyertaan Myanmar, selepas junta enggan menghantar wakil bukan politik sebagai protes terhadap pengecualian Jeneral Min Aung Hlaing ke mesyuarat itu.

Artikel Berkaitan:

Menteri-menteri luar ASEAN pada 15 Oktober memutuskan untuk mengecualikan ketua tentera itu atas tindakannya menggulingkan kerajaan awam Myanmar pada 1 Feb. Ia berikutan kurangnya kemajuan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN ke arah menamatkan krisis politik yang tercetus akibat rampasan kuasa. - Bernama