'Semua sila fokus, jangan bolos awal'

Ong Kim Swee - Foto Sabah Football Club
Ong Kim Swee - Foto Sabah Football Club
A
A
A

PEMAIN-pemain Sabah FC diingatkan untuk tidak mengulangi kesilapan sama ketika berdepan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini apabila kedua-dua pasukan berentap dalam perlawanan Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa.

Pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee berkata, dua kesilapan mudah dalam perlawanan pertama di Stadium Likas sebelum ini sewajar dihindari para pemain Sabah sekiranya berhasrat membawa keputusan positif dari laman keramat Harimau Selatan tersebut.

"Setiap pemain khasnya pemain pertahanan perlu memberi sepenuh fokus dalam perlawanan ini, jangan alpa sehingga membolehkan pasukan lawan menjaringkan gol pada awal permainan seperti dua gol semasa perlawanan di Likas.

"Kita sudah melihat bagaimana Jumaat lalu, JDT berjaya mendapatkan dua gol awal dengan mudah hasil kesilapan yang boleh dielak sekiranya para pemain kekal fokus pada perlawanan malam itu.

"Jadi untuk perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim ini, sekali lagi saya mahu semua pemain kekal fokus bermula daripada minit awal sehingga ke tiupan wisel minit akhir permainan bagi mengelak gawang Sabah dibolosi yang akan mengganggu rentak permainan pasukan," kata Kim Swee pada Isnin.

Pada perlawanan pusingan pertama di Likas sebelum ini The Rhinos terpaksa akur tewas kepada Harimau Selatan menerusi dua gol babak pertama yang dihasilkan oleh Hazwan Bakri dan Gonzalo Cabrera masing-masing pada minit kelima serta ke-13, untuk tiga mata skuad kendalian Benjamin Mora tersebut.

Para pemain Sabah berusaha mengekang kelincahan Hazwan dalam perlawanan Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Likas sebelum ini. - Foto Sabah Football Club
Para pemain Sabah berusaha mengekang kelincahan Hazwan dalam perlawanan Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Likas sebelum ini. - Foto Sabah Football Club

Mengenai persediaan perlawanan menentang Harimau Selatan itu, Kim Swee berkata, tiada sebarang rombakan besar-besaran dilakukan bagi memantapkan pasukan, namun tidak menolak kemungkinan menampilkan beberapa muka baharu.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan menurunkan beberapa pemain muda untuk berdepan JDT, kerana semua sedia maklum beberapa pemain utama Sabah masih lagi berada dalam senarai kecederaan dan juga penggantungan perlawanan selepas menerima kad kuning.

"Saya harap pemain-pemain muda yang diberikan tanggungjawab berdepan JDT, akan memanfaatkan peluang memberikan aksi terbaik masing-masing ketika berdepan kelab terbaik dalam negara ini," ujarnya.