Myanmar tetap jadi kebimbangan ASEAN

Foto yang dirakamkan di sidang kemuncak yang diadakan secara maya itu menunjukkan hanya sembilan daripada 10 pemimpin ASEAN menghadiri sidang kemuncak berkenaan. - Foto Bernama
Foto yang dirakamkan di sidang kemuncak yang diadakan secara maya itu menunjukkan hanya sembilan daripada 10 pemimpin ASEAN menghadiri sidang kemuncak berkenaan. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang menutup tirainya pada Khamis lepas, buat pertama kalinya menyaksikan tiada perwakilan dari Myanmar.

Foto yang dirakamkan di sidang kemuncak yang diadakan secara maya itu menunjukkan hanya sembilan daripada 10 pemimpin ASEAN menghadiri sidang kemuncak berkenaan.

Pada 15 Oktober lepas blok serantau itu memutuskan untuk mengecualikan ketua junta Jeneral Kanan Min Aun Hlaing sebaliknya meminta junta mencadangkan wakil bukan politik untuk mewakili Myanmar yang kemudian ditolak junta. Blok itu juga menolak permintaan kerajaan bayangan Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional untuk menyertai sidang kemuncak berkenaan.

Tindakan mengecualikan Myanmar itu diambil ekoran tiadanya kemajuan memberangsangkan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang dicapai semasa Mesyuarat Pemimpin ASEAN pada 24 April untuk mencari perdamaian dan memulihkan keamanan di Myanmar.

Tindakan menteri-menteri luar ASEAN itu belum pernah dibuat sebelum ini, tetapi dilihat perlu untuk mempertahankan kredibiliti blok tersebut. Meskipun Myanmar tidak hadir dalam persidangan, para pemimpin ASEAN terus menyatakan kebimbangan mengenai negara itu.

Felow Institut ISEAS-Yusof Ishak, Moe Thuzar berkata, keengganan junta menghantar wakil bukan politik jelas menunjukkan bagaimana Majlis Pentadbiran Negara (SAC) yang dikendalikan junta di Myanmar cuba memanipulasi penglibatan konstruktif ASEAN.

Sikap tidak endah SAC mencerminkan reaksinya terhadap keputusan ASEAN untuk mengecualikan junta daripada sidang kemuncak.

“Mesej ASEAN kepada Min Aung Hlaing berhubung komitmen negara terhadap Konsensus Lima Perkara, sama ada di pihak ASEAN atau di pihak rejim SAC adalah keutamaan untuk membantu menyelesaikan krisis Myanmar.

Artikel Berkaitan:

“Mengundang Min Aung Hlaing ke sidang kemuncak tidak mungkin berlaku; ia akan memberi mesej yang salah kepada rakyat Myanmar, dan kepada dunia,” katanya kepada Bernama.

“Meskipun begitu, kenyataan SAC baru-baru ini berhubung keputusan ASEAN menunjukkan kesediaan negara itu untuk bekerjasama dengan ASEAN dalam "semangat ASEAN dan ASEAN Way", jadi saya harap ini menjadi petunjuk bahawa SAC mengiktiraf kewajipannya sebagai negara anggota ASEAN dan makna ASEAN kepada Myanmar,” katanya.

Ahli pengasas Majlis Penasihat Khas Myanmar (SAC-M) Marzuki Darusman berkata duta khas ASEAN ke Myanmar perlu bertemu dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York dan meminta majlis itu mengeluarkan resolusi yang menjadikannya sebagai satu tindakan masyarakat antarabangsa.

Menurut beliau, resolusi itu perlu, sebagai titik permulaan, menyatakan rampasan kuasa itu adalah tidak sah dan keperluan untuk menguatkuasakan pelucutan senjata, sekatan, dan pembebasan semua tahanan politik.

“Pelaksanaan konsensus lima perkara ASEAN mesti melibatkan semua pihak. Terutamanya untuk bantuan kemanusiaan,” kata bekas pengerusi Misi Pencarian Fakta Antarabangsa Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Myanmar.

Marzuki dan seorang lagi ahli pengasas SAC-M dan bekas Pelapor Khas PBB mengenai hak asasi manusia di Myanmar Yanghee Lee mengulas mengenai kepimpinan Min Aung Hlaing yang gagal, menyebut bahawa keretakan telah mula kelihatan dan ia di ambang krisis.

Pada Ogos, Menteri Luar II Brunei Erywan Mohd Yusof dilantik sebagai duta khas untuk menjadi pengantara proses dialog dan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara. Namun, junta menolak permintaan Duta Khas ASEAN dan menghalang beliau daripada melaksanakan mandatnya dengan berkesan.

Sejak kerajaan Aung San Suu Kyi yang dipilih digulingkan oleh tentera Myanmar yang diketuai oleh Jeneral Kanan Min Aung Hlaing pada 1 Feb, terdapat pergolakan dalaman dengan hampir 1,000 orang awam terbunuh oleh pasukan keselamatan.

Sementara itu, pengecualian Myanmar daripada sidang kemuncak itu tidak membantu dalam mencari penyelesaian bagi nasib pelarian Rohingya yang terpaksa meninggalkan negara itu.

Pengerusi Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar dan bekas Menteri Luar Tan Sri Dr Syed Hamid Albar berkata, walaupun beliau menghargai keputusan ASEAN untuk mengecualikan junta Myanmar, sidang kemuncak itu perlu mengakui bahawa Rohingya akan kekal sebagai pelarian untuk tahun-tahun akan datang.

Selepas hampir sembilan bulan rampasan kuasa di Myanmar tanpa menunjukkan tanda-tanda ketidakstabilan akan berakhir, Syed Hamid berkata sudah tiba masanya ASEAN dan masyarakat antarabangsa meningkatkan dan mencari penyelesaian sebenar bagi penempatan jangka panjang pelarian Rohingya.

“Ketika para pemimpinnya mempertimbangkan langkah seterusnya untuk libat urus Myanmar secara berkesan, ASEAN juga perlu menggunakan peluang yang ada untuk membincangkan strategi serantau yang diperbaharui untuk pelarian Rohingya di seluruh rantau ini, menjamin penghantaran pulang yang selamat, sukarela dan bermaruah yang belum dapat dilaksanakan susulan keadaan krisis semasa di negara itu.

Reuters melaporkan bahawa Kemboja, pengerusi ASEAN yang akan datang, berkata ia akan melantik duta khas baharu dan mendesak kerajaan tentera negara itu membuka dialog dengan pembangkangnya. - Bernama