Pelajar rugi deposit rumah sewa lesap

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pelajar berusia 19 tahun kerugian RM1,400 selepas berurusan dengan seorang lelaki yang mahu menyewakan sebuah rumah di Jitra pada penghujung Oktober.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Kedah, Suprintendan Elias Omar berkata, mangsa telah melayari Facebook pada September lalu dan melihat iklan sewa rumah yang didakwa daripada pemilik akaun yang bernama Zhafri Muhammad.

Menurutnya, mangsa mahu menyewa rumah tersebut kerana pengajian akan bermula pada awar November dan perlu mencari rumah sewa untuk diduduki bersama rakan-rakan kuliahnya.

"Mangsa yang berasal dari Kedah telah berhubung melalui aplikasi WhatsApp dan suspek memperkenalkan diri sebagai pemilik rumah berkenaan.

"Mangsa kemudian bersetuju untuk menyewa rumah selepas melihat kediaman berkenaan dan berjumpa dengan suspek di rumah itu. Kadar sewa yang dipersetujui ialah RM600 sebulan manakala wang deposit sebanyak RM1,400," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut Elias berkata, mangsa diminta membuat bayaran deposit dan atas dasar percaya mangsa melakukan pemindahan wang ke akaun bank yang diberikan oleh suspek pada awal bulan Oktober berjumlah RM1,400.

Menurutnya, penipuan ini mula disedari setelah suspek berjanji akan menyerahkan kunci rumah pada hujung bulan Oktober namun mangsa dapati suspek telah menyekat nombor telefonnya.

"Mangsa membuat laporan polis di Pendang, Kedah pada Ahad dan setakat ini terdapat enam laporan polis telah dibuat oleh mangsa berkaitan penipuan sewa rumah dan sebanyak dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu)," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan maklumat berkaitan sewa rumah sebelum melakukan transaksi.