Membukti bijak atau menjadi bijak

A
A
A

KEBIJAKSANAAN itu bukannya suatu anugerah sebaliknya kita harus berusaha secara berterusan untuk menajamkannya. Pun begitu, ramai yang merasakan mereka sudah bijak. Malah ada yang begitu bijak seumpama seekor ayam jantan di mana jika tidak berkokok di waktu pagi, maka hari tidak akan siang. Hebatnya mereka kan?. Namun begitu, mereka tidak akan merasa bijak selagi orang lain tidak mengatakan mereka bijak.

Lantaran itu, mereka perlu membuktikan mereka bijak. Pelbagai cara digunakan untuk menonjolkan kebijaksanaan mereka. Malah ada juga yang secara automatik merasa bijak dengan gelaran yang diterima olehnya. Persoalannya, adakah benar orang yang bijak perlu membuktikan mereka bijak serta bila dipuji baru rasa bijak?. Adakah hanya dengan sesuatu gelaran kita terus menjadi bijak? Jika begitulah keadaan orang yang bijak, sangatlah malang sekali kerana lekeh sungguh menjadi bijak.

Kenapa lekeh?. Sikap suka menerima pujian ini sangatlah sesuai untuk peringkat kanak-kanak sahaja. Semasa saya kecil dahulu, jika payah makan ubat maka ibu bapa saya akan memujuk dengan pelbagai gaya dan nada suara supaya makan ubat. Bila sudah termakan pujukan dan menelan ubat tersebut, maka ibu saya pun berkata, “Bijak anak emak”. Petua ini saya gunakan semula untuk menyuap ubat semua anak saya sewaktu mereka kecil. Pendek kata, sewaktu kanak-kanak kita sangat perlukan penghargaan sebegini daripada sesiapa sahaja agar dapat meningkatkan harga diri sepanjang masa. Begitu jugalah anak-anak pada hari ini. Namun apabila kita dewasa, sesuatu pujian bukanlah lagi penyumbang terbesar untuk kita jadi hebat dan tinggi harga diri.

Sebetulnya, menurut teori personaliti, adalah tidak dinafikan bahawa sikap keanak-anakan ini tetap ada dalam diri seseorang dewasa, namun dalam kapasiti yang sedikit. Sebagaimana contoh, kita tidak akan terkejut jika melihat ada pemain golf yang berguling-guling di atas padang kerana sangat gembira setelah berjaya memasukkan bola golf ke dalam lubang.

Begitu juga dengan sikap penonton bola yang membuka baju sambil menari-nari kerana begitu teruja dengan jaringan gol oleh pasukan mereka. Namun jika sikap inginkan perhatian serta menerima pujian secara berterusan mula terbina dalam diri seseorang, ini bermakna sikap keanak-anakan tersebut bukan lagi dalam kapasiti yang sedikit. Secara umumnya, sikap ingin membuktikan mereka bijak terdapat dalam pelbagai situasi. Ada yang baru saja mendapat tauliah mengajar agama sudah membuktikan mereka bijak dengan bersikap hanya mereka yang betul dan pandangan orang lain pula adalah salah. Malah sudah mula berani untuk cabar-mencabar bagi mempertahankan hujah mereka.

Terdapat juga yang baru terima PhD sudah merasakan tingginya ilmu mereka sehinggakan semua bidang ilmu mahu diterjahnya. Begitu juga yang baru belajar untuk jadi pemimpin sudah mula merasa hebat sehingga lupa siapa yang memberi peluang dan menyokong mereka selama ini. Malah sudah mula rasa seronok dan teruja memperlekehkan orang lain.

Hakikatnya, orang yang bijak tidak perlu membuktikan mereka bijak. Biasanya orang yang bijak mempunyai ciri-ciri seperti berikut; sentiasa merendah diri, boleh membuat keputusan yang adil dan saksama, pandai bertutur-kata, sangat praktikal dan menghormati pandangan orang lain, tidak memperlekehkan orang lain, pandai bergaul serta banyak memberi dan memberikan impak yang besar kepada masyarakat.

Apa yang jelas, untuk menjadi bijak mereka perlu belajar dan terus belajar. Menurut Benjamin Barber seorang yang tersohor dalam teori politik, “saya tidak membahagikan dunia ini kepada kelompok lemah dan kuat atau berjaya dan tidak, namun saya lebih suka membahagikan dunia ini kepada kelompok yang mahu belajar dan tidak mahu belajar.”.

Artikel Berkaitan:

Ini bermakna orang yang ingin menjadi bijak haruslah melihat dunia ini dari perspektif yang lebih luas dan bukan hanya tertumpu untuk mengangkat dirinya sahaja.

Berkaitan hal ini, kisah Nabi Sulaiman dengan semut sepatutnya menginsafkan kita semua. Kisah ini telah difirmankan oleh ALLAH dalam al-Quran, “Hingga ketika mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut. 'Wahai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan bala tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari. Maka dia (Sulaiman) tersenyum lalu tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu dan dia berdoa, ‘Ya Tuhanku, anugerahkan aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar aku membuat kebaikan yang engkau redai, dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh”. (QS Al-Naml 27:18-19).

Ingatlah! Kita masih belum bijak jika masih merasakan kita bijak. Kebijaksanaan yang dikurniakan oleh ALLAH bukannya untuk dibanggakan. Sebaliknya sebagai amanah untuk memanusiakan manusia sebagai hamba ALLAH yang bertakwa.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis