X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Perkeso sedia realisasi 600,000 peluang pekerjaan

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersedia merealisasikan hasrat kerajaan menyediakan 600,000 peluang pekerjaan pada 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan kepada Perkeso untuk melaksanakan insentif penggajian JaminKerja dan insentif Penggajian (JKIP) di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Menurutnya, pelaksanaan insentif itu akan merangsang lebih banyak kewujudan pekerjaan oleh para majikan sekali gus menggalakkan penyertaan lebih banyak kumpulan tumpuan termasuk orang kurang upaya (OKU), banduan dan bekas tentera untuk kembali bekerja.

"Kami menyasarkan seramai 300,000 pencari kerja di seluruh negara bakal menerima manfaat bantuan pengambilan pekerja ini.

"Menerusi JKIP, majikan yang menggaji individu yang tidak aktif bekerja bakal menerima insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.

"Bagi golongan rentan pula, majikan layak menerima insentif sebanyak 30 peratus untuk enam bulan pertama, sebelum dinaikkan kepada 40 peratus bagi enam bulan berikutnya, tertakluk kepada pekerjaan bergaji antara RM1,200 hingga RM10,000," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kadar insentif yang sama akan dipanjangkan bagi pengambilan pekerja golongan wanita yang menganggur melebihi tempoh setahun.

"Sebagai kesinambungan kepada kejayaan program perantisan sebelum ini, JKIP akan meneruskan pemberian insentif sebanyak RM900 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada majikan yang menggajikan golongan perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun.

"Ini melibatkan kenaikan insentif sebanyak RM100 sebulan daripada RM800 sebelum ini dalam Belanjawan 2021. Bermula tahun depan juga, program ini akan dijenamakan semula sebagai SIP Perantisan," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azman memberitahu, JKIP turut menyediakan insentif sebanyak RM900 sebulan selama enam bulan kepada individu yang terlibat dalam pekerjaan gig.

Insentif ini akan terus memanfaatkan golongan rentan dan individu yang mengalami kehilangan pekerjaan untuk terlibat dalam pekerjaan gig sehingga mereka dapat memperoleh pekerjaan sepenuh masa," ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!