Bantuan khas RM350 turut diberi kepada veteran ATM tak berpencen

Kenyataan Ismail Sabri pada Isnin.
Kenyataan Ismail Sabri pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM350 secara one-off kepada satu juta pesara kerajaan juga akan diberikan kepada golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif tersebut selaras dengan amalan semasa kerajaan yang prihatin terhadap golongan veteran ATM tidak berpencen agar turut menerima bantuan tersebut.

“Inisiatif ini telah dilaksanakan pada Bajet 2021 di mana sebanyak RM300 telah diberikan kepada kumpulan pesara.

“Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) menganggarkan, sehingga kini terdapat kira-kira 300,000 veteran ATM yang terdiri daripada veteran ATM berpencen, pencen terbitan dan veteran ATM tidak berpencen,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Seramai 1.3 juta penjawat awam menikmati durian runtuh selepas kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM700 bagi Gred 56 dan ke bawah.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 mengumumkan BKK sebanyak RM700 akan diberikan kepada Gred 56 dan ke bawah, manakala satu juta pesara kerajaan akan menerima RM350.

Sementara itu, Ismail Sabri bagaimanapun berkata, hanya seramai 82,000 veteran ATM tidak berpencen daripada jumlah tersebut telah berdaftar dengan JHEV sehingga 30 September 2021.

“Sehubungan itu, veteran ATM tidak berpencen yang belum berdaftar disarankan untuk berbuat demikian dengan JHEV agar BKK dapat disalurkan kepada mereka menjelang Januari 2022,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: