SOP PRN Melaka: 'Naik lori cakap sorang-sorang' - Anwar

Anwar Ibrahim - Foto fail Bernama
Anwar Ibrahim - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembangkang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap larangan yang ditetapkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk tidak membenarkan perhimpunan yang berkuat kuasa pada 25 Oktober lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak setuju sekiranya pilihan raya diadakan tanpa sebarang kempen selepas tindakan kerajaan pimpinan UMNO Melaka mempengaruhi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Sementara saya setuju prosedur operasi (SOP) yang ketat, (dimana) keselamatan dan kesihatan rakyat adalah keutamaan.

"Sebab itu kita rasa kesal dengan keputusan kerajaan pimpinan UMNO Melaka yang mempengaruhi TYT... yang tak fikir panjang, meneliti panjang kesan, ini masalahnya. Mereka (UMNO) memulakan punca ini (menyebabkan) beban dan susah kepada rakyat... kemudian nak suruh pilihan raya.

"Pilihan raya (pula) tak boleh kempen, tak boleh jumpa orang... Ini pilihan apa? Tetapi saya dengar Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) memberi jaminan untuk menjelaskan SOP ini.

"Ini kerana macam mana? Naik lori cakap sorang-sorang (seorang diri), (itu) SOP, kemudian kena denda RM10,000. Makan beratus-ratus orang, ada majlis, itu tak payah denda. Ini negara apa, darjat mana yang mereka wakili?

"Saya tidak setuju kalau pilihan raya dibuat dan dibiarkan (tanpa kempen). Saya faham perkara ini mungkin sensitif bagi Perdana Menteri tetapi dia Perdana Menteri bagi rakyat Malaysia, bukan kepada pemimpin UMNO sahaja," katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Anwar (PH-Port Dickson) berkata demikian menjawab celahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) yang meminta Perdana Menteri supaya membuat pengumuman segera berhubung SOP PRN Melaka.

Artikel Berkaitan:

Jelas Saifuddin, perkara itu perlu bagi mengelak kekeliruan serta rasa tidak puas hati pelbagai pihak.

"Melaka sudah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan jika berdasarkan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN), pelbagai aktiviti sosial sudah dibenarkan, malah majlis rasmi kerajaan pun dibenarkan.

"Saya sudah boleh membayangkan akan berlaku 'double standard' dan itu sudah berlaku. Ada pimpinan sebelah kerajaan papar dengan bangga program mereka di media sosial tetapi tidak dikenakan kompaun," ujar beliau.

Pada 24 Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya, termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.

Barisan Nasional (BN), yang mengadakan majlis pelancaran jentera PRN Melaka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis lalu telah dikenakan kompaun.

Bahkan, PKR turut dikenakan kompaun RM10,000 selepas mengadakan program penerangan bergerak yang didakwa tanpa kehadiran perhimpunan di Taman Krubong Jaya, pada Sabtu lalu. - Awani