UOB unjur KDNK Malaysia 5.5 peratus untuk tahun 2022

Julia Goh - Foto fail/Bernama
Julia Goh - Foto fail/Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan 4.0 peratus pada 2021 dan 5.5 peratus pada 2022, sejajar dengan unjuran rasmi, kata UOB Malaysia pada Isnin.

Pakar ekonomi kanannya, Julia Goh berkata, tinjauan yang lebih baik itu didorong antaranya oleh liputan vaksin yang lebih luas, sokongan permintaan global, peralihan Malaysia ke fasa endemik, permintaan domestik kembali normal, penyambungan semula perbelanjaan infrastruktur dan sokongan fiskal selanjutnya.

"Peningkatan permintaan terpendam turut dijangkakan terutamanya untuk perjalanan domestik serta riadah yang boleh menyokong lagi pemulihan," katanya dalam satu nota penyelidikan pada Isnin.

Kerajaan turut mengunjurkan KDNK benar meningkat antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada 2022, sekali gus menandakan pengembangan yang lebih tinggi daripada unjuran 3.0 peratus hingga 4.0 peratus pada 2021.

Pertumbuhan untuk 2021 telah disemak turun daripada unjuran awal 6.5 peratus hingga 7.5 peratus yang dibentangkan di bawah Bajet 2021.

“Sementara itu, potensi risiko penurunan termasuk kemunculan varian virus baharu, ekonomi China yang lebih perlahan dan pengetatan kawal selia, kejutan harga komoditi, masalah bekalan tenaga, peningkatan inflasi, ketidakpastian yang kian meningkat di tengah-tengah dasar monetari yang lebih ketat serta risiko geopolitik," tambah beliau.

UOB Malaysia turut memberi amaran tentang kemungkinan kebangkitan semula jangkitan Covid-19 disebabkan oleh varian virus baharu dan keberkesanan vaksin yang semakin berkurangan.

“Justeru, beberapa pelan luar jangka disediakan termasuk pemberian dos vaksin penggalak selain mengekalkan baki RM10 bilion daripada Tabung Bantuan Khas Covid-19 sebagai penampan,” kata Goh.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, kembali kepada keadaan biasa amat penting untuk kelangsungan hidup ribuan perniagaan terutamanya dalam sektor berkaitan perhotelan dan pelancongan yang menyumbang 24.4 peratus daripada sektor perkhidmatan atau 14 peratus daripada KDNK pada 2020. - Bernama