Kakitangan awam tolak vaksin perlu berlapang dada terima suntikan

Saarani (tengah) ketika menghadiri sesi Townhall Menteri Besar bersama Penjawat Awam dan Warga Keselamatan di Dewan Millenium Lubok Merbau, pada Isnin.
Saarani (tengah) ketika menghadiri sesi Townhall Menteri Besar bersama Penjawat Awam dan Warga Keselamatan di Dewan Millenium Lubok Merbau, pada Isnin.
A
A
A

PADANG RENGAS - Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menasihatkan kakitangan awam yang enggan menerima vaksin Covid-19 untuk berlapang dada dan segera mengambil suntikan berkenaan.

Beliau berkata, meskipun tiada paksaan dalam pengambilan imunisasi itu, namun sebagai penjawat awam mereka masih terikat dengan polisi dan peraturan ditetapkan kerajaan.

Menurut beliau, di Perak setakat ini tidak ada statistik tepat, tetapi daripada laporan diterima menunjukkan ada kalangan kakitangan awam termasuk guru yang menolak untuk divaksin.

"Ini polisi dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN). Sudah tentu kerajaan membuat dasar itu kerana mengambil kira orang-orang yang tidak mengambil vaksin ini berpeluang mendapat jangkitan dan menjangkiti orang lain.

"Jadi ini tidak adil, apatah lagi penjawat awam termasuk cikgu kerana mereka akan sentiasa berhadapan dengan orang ramai. Cikgu pastilah berhadapan dengan murid dalam kelas dan kakitangan kerajaan lai terutama yang berada di kaunter akan berhadapan orang ramai.

"Jadi saya merayu dengan berlapang dada pergilah ke pusat pemberian vaksin untuk diberi vaksin. Saya berharap ALLAH akan memberi hidayah kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi Townhall Menteri Besar bersama Penjawat Awam dan Warga Keselamatan di Dewan Millenium Lubok Merbau di sini pada Isnin.

Media melaporkan bermula 1 November 2021, kerajaan bakal mengambil tindakan terhadap mana-mana penjawat awam yang tidak mengambil vaksin tanpa sebarang alasan kesihatan.

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 tahun 2021 dikeluarkan JPA pada 18 Oktober lalu, penjawat awam yang tidak mematuhi arahan daripada ketua jabatan untuk mendapatkan dos vaksin Covid-19 selepas 1 November boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Saarani berkata, setakat ini lebih 85 peratus daripada keseluruhan rakyat negeri Perak telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, dengan perkembangan itu, kerajaan negeri optimis untuk beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi.

"Lagi cepat lagi bagus sebab semalam (Ahad) angka kes (jangkitan positif Covid-19) dah berada di bawah 300 dan kalau boleh kekalkan momentum dengan angka lebih rendah bawah 100, sudah tentu kita dapat pergi ke fasa empat (Pelan Pemulihan Negara)," katanya.