239 individu dapat kerja menerusi jelajah Selangor Bekerja

Mohd Khairuddin (dua dari kanan) ketika pelancaran Program Selangor Bekerja baru-baru ini.
Mohd Khairuddin (dua dari kanan) ketika pelancaran Program Selangor Bekerja baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 239 peserta daripada 1,108 calon yang hadir temuduga semasa siri jelajah Selangor Bekerja pada 23 Oktober dan 30 Oktober di Shah Alam serta Kuala Selangor diterima bekerja.

Selain itu, Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, seramai 513 calon pula layak menjalani sesi temuduga kedua.

Menurutnya, sejumlah 55 majikan telah hadir ke jelajah tersebut antaranya Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), SACC Convec Sdn Bhd, Assembly Services Sdn Bhd (UMW Toyota), SD Impex Sdn Bhd dan Oldtown Kopitiam Sdn Bhd.

Katanya, kerajaan negeri akan menganjurkan empat lagi siri Jelajah Selangor Bekerja di beberapa daerah sepanjang November ini.

"Jelajah di Hulu Selangor dijadualkan pada 6 November, Hulu Langat pada 13 November diikuti Petaling pada 20 November dan Shah Alam pada 27 November ini.

"Sasaran kerajaan negeri adalah untuk mengurangkan kadar pengangguran daripada 4.4 peratus pada tahun ini kepada 3.7 peratus pada tahun hadapan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Oktober lalu, Mohd Khairuddin memaklumkan, menerima hampir 10,000 pendaftaran menerusi portal rasmi Jelajah Selangor Bekerja 2021 di pautan www.selangorbekerja.com.my.

Program tersebut merupakan inisiatif kerajaan Selangor mengembalikan kerjaya kepada mereka yang terjejas dan hilang pekerjaan disebabkan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Antara sektor pekerjaan ditawarkan meliputi aeroangkasa, perkhidmatan, pembuatan dan pemakanan.