KPDNHEP keluarkan kompaun RM128,250 libatkan 922 kes

Wan Romani (tiga dari kiri) memantau harga telur ketika hari pertama pelaksanaan SHMMP Deepavali peringkat negeri Kedah di Sungai Petani, pada Isnin.
Wan Romani (tiga dari kiri) memantau harga telur ketika hari pertama pelaksanaan SHMMP Deepavali peringkat negeri Kedah di Sungai Petani, pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah mengeluarkan kompaun berjumlah RM128,250 sejak Januari hingga 31 Oktober lalu membabitkan 922 kesalahan.

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Romani Wan Salim berkata, tindakan yang dikenakan itu membabitkan pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, KPDNHEP Kedah turut merampas barangan kes bernilai RM606,529.65 bagi membantu siasatan sepanjang tempoh tersebut.

"Sepanjang tahun ini, kita telah membuat pemeriksaan ke atas 67,823 buah premis membabitkan pelbagai lokasi perniagaan termasuk pasar, kedai dan pasar raya," katanya ketika melakukan pemantauan harga hari pertama pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2021 peringkat negeri Kedah di Mydin Taman Batik di sini pada Isnin.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad dan Pengurus Cawangan Mydin Taman Batik, Mohd Fauzi Rashid.

Wan Romani berkata, jumlah aduan yang diterima KPDNHEP Kedah bermula dari 1 Januari hingga 31 Oktober lalu ialah sebanyak 884 kes.

Sementara itu, beliau berkata, hasil pemantauan mendapati, sebanyak 11 jenis barangan yang termasuk dalam pelaksanaan SHMMP bermula 1 hingga 7 November ini didapati terkawal.

Bagi memastikan pematuhan skim, katanya, kementerian akan mengambil tindakan kompaun serta-merta dengan kadar tiga kali ganda berbanding kadar biasa.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan ini sebagai peringatan dan pengajaran kepada peniaga memandangkan tempoh masa pelaksanaan telah dipendekkan dan jumlah barangan dikurangkan berbanding perayaan sebelum ini," kata beliau.