Kes Covid-19 turun lagi, 4,626 hari ini

Noor Hisham. - Foto fail Bernama
Noor Hisham. - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kes harian positif Covid-19 di negara ini pada Isnin mencatatkan penurunan iaitu sebanyak 4,626 kes berbanding 4,979 kes pada Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 2,476,268 kes.

Daripada jumlah tersebut, katanya, sebanyak 94 kes adalah kategori tiga hingga lima.

“Kategori satu dan dua pula ialah sebanyak 4,532 kes atau 98 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 569 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), manakala 301 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Bagaimanapun, katanya, jumlah harian kes sembuh yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah sebanyak 5,299 kes.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhannya ialah 2,380,060 kes dan bersamaan 96.1 peratus daripada keseluruhan kes,” ujar beliau.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya mengenal pasti lima kluster baharu termasuk tiga kluster tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

"Kluster kumpulan berisiko tinggi dan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut merekodkan pertambahan satu kluster," katanya.

Ujar beliau, jumlah keseluruhan kluster yang dikesan ialah 5,776 kluster dan 5,365 daripadanya telah diisytiharkan tamat manakala 411 lagi masih aktif.

Beliau berkata, kadar kebolehjangkitan negara bagaimanapun meningkat kepada 0.96 peratus sejak 23 Oktober lalu.

Bagi negeri pula, katanya, Kuala Lumpur mencatatkan kadar kebolehjangkitan tertinggi iaitu 1.02 diikuti Putrajaya (1.01) dan Negeri Sembilan (1.00).

Lain-lain negeri ialah Melaka (0.98), Selangor (0.97), Sabah (0.95), Kedah (0.95), Pahang (0.94), Terengganu (0.89), Perlis dan Kelantan (0.87).

"Kelantan, Perak dan Pulau Pinang masing-masing mencatatkan 0.86 diikuti Sarawak (0.85), manakala Labuan mencatatkan kadar sifar," katanya.