Gabungan Parti LDP-Komeito berjaya kekalkan majoriti di Dewan Rakyat

Fumio Kishida (Behrouz Mehri/ Pool melalui AP)
Fumio Kishida (Behrouz Mehri/ Pool melalui AP)
A
A
A

TOKYO - Gabungan Parti Demokratik Liberal (LDP) dan Komeito berjaya mengekalkan majoriti selesa di Dewan Rakyat berdasarkan keputusan akhir pilihan raya umum yang diadakan pada Ahad, lapor Xinhua pada Isnin.

LDP yang diterajui Perdana Menteri, Fumio Kishida memperoleh 261 kerusi daripada 465 kerusi, manakala sekutunya Komeito mendapat 32 kerusi.

Sebelum ini, LDP menguasai 276 kerusi, kehilangan beberapa kerusi kepada parti pembangkang, mencerminkan perdana menteri mungkin gagal mendapat sokongan kuat untuk dasarnya berkaitan Covid-19, ekonomi dan keselamatan negara.

Kishida berkata, keputusan itu memberikannya 'mandat berharga daripada rakyat' untuk terus memerintah.

Mengenai kehilangan kerusi LDP, Kishida berkata, pihaknya akan 'menganalisis keputusan itu'.

Parti pemerintah itu kehilangan beberapa kerusi berprofil tinggi.

Menurut laporan Kyodo, Akira Amari, Setiausaha Agung LDP dilaporkan akan meletakkan jawatannya berikutan kekalahannya.

Pilihan raya umum itu menjadi medan ujian getir pertama untuk Kishida sejak menjadi perdana menteri pada 4 Oktober.

Artikel Berkaitan:

Beliau berikrar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi sambil mengagihkan semula lebih banyak faedah ekonomi kepada kelas pertengahan di bawah wawasannya 'kapitalisme baharu'.

Di bawah wawasan itu, kerajaan merancang mendapatkan lebih banyak katil hospital untuk pesakit Covid-19 sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gelombang jangkitan keenam.

Kishida juga berkata, kerajaan akan mencadangkan pakej rangsangan pada tahun ini untuk menyokong rakyat dan perniagaan yang terjejas akibat pandemik. - Bernama