CBP tawar pekerjaan kepada mangsa dipukul bapa

Kamari Zaman (dua, kiri) menyerahkan sumbangan daripada CBP kepada wakil keluarga mangsa, Mohd Fazuan (dua, kanan) sambil diiringi Mohd Nor (kiri).
Kamari Zaman (dua, kiri) menyerahkan sumbangan daripada CBP kepada wakil keluarga mangsa, Mohd Fazuan (dua, kanan) sambil diiringi Mohd Nor (kiri).
A
A
A

KUALA KURAU - Nasib mangsa cedera dipukul bapa, Nor Amanina Nordin dalam kejadian empat hari lalu mendapat perhatian Co-opbank Pertama (CBP) apabila menawarkan peluang pekerjaan kepadanya hari ini.

Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari berkata, tawaran pekerjaan itu dibuat susulan pihaknya mendapati mangsa berusia 24 tahun yang juga graduan lepasan ijazah sarjana muda perakaunan dari Universiti Teknologi Mara(Uitm) dan memperoleh pencapaian akademik cemerlang.

Menurutnya, dalam lawatan itu, CBP turut memberi sumbangan kewangan kepada waris mangsa bagi meringankan beban kos perubatan.

"CBP amat bersimpati dengan insiden berlaku serta mendoakan agar mangsa dan bapanya segera sembuh. Kami sedia tawarkan peluang pekerjaan kepadanya jika berminat dan ia tertakluk kepada prosedur sedia ada.

"Kami percaya Nor Amanina yang baru tamatkan pengajian Januari lalu mempunyai potensi besar untuk menjadi pekerja cemerlang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ziarah keluarga mangsa yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd Nor Abd Razak di Kampung Parit Sungai Melan di sini, hari ini.

Menurutnya, CBP turut mempertimbangkan Nor Amanina ditempatkan di cawangan CBP berhampiran rumahnya iaitu Taiping dan Nibong Tebal bagi memudahkan mangsa berada dekat dengan keluarganya.

"Kami juga difahamkan mangsa turut ditawarkan peluang pekerjaan di Kuala Lumpur namun dipercayai tidak menerimanya kerana lokasi berjauhan dengan rumah keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kemudahan bekerja di cawangan CBP terdekat memudahkan beliau menguruskan urusan keluarga memandangkan ibunya meninggal dunia pada 2010," katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Mohd Fazuan Nordin, 28, sewaktu ditemui terharu dengan keprihatinan ditunjukkan CBP dan bersyukur dengan tawaran pekerjaan diberikan kepada adiknya itu.

Menurutnya, keluarga menyerahkan keputusan itu kepada Nor Amanina sebaik pulih daripada kecederaan dialami memandangkan adik ketiganya itu sedang mempertimbangkan dua tawaran pekerjaan lain daripada syarikat swasta terkemuka negara.

"Mengenai keadaan Nor Amanina, kami sekeluarga keadaannya semakin stabil selepas menjalani dua pembedahan di kepala dan mula sedar semalam.

"Insya-ALLAH dalam masa terdekat, Nor Amanina akan dipindahkan ke Hospital Parit Buntar bagi memudahkan kami meninjau keadaannya," katanya.

Mohd Fazuan berkata, sehingga kini bapanya, Nordin Idak, 58, masih direman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dan belum berpeluang berjumpa dengan ahli keluarga.

"Saya ingin menekankan perbuatan bapa saya itu adalah di luar kawalan dirinya kerana hubungan bapa dengan Nor Amanina sangat rapat, malahan dia sendiri tidak pernah memukul kesemua anaknya selama ini.

"Saya berharap keadaan bapa saya dan Nor Amanina kembali pulih, seterusnya memulihkan kembali hubungan antara mereka yang mungkin terjejas disebabkan kes salah faham berlaku," katanya.

Pada 4 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan seorang graduan jurusan perakaunan parah dipukul bapanya menggunakan penukul dalam kejadian antara 5.30 petang dan 6.30 petang di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, ketika kejadian, mangsa difahamkan sedang membaca al-Quran sebelum didatangi bapanya yang bertindak memukul mangsa bertubi-tubi di bahagian kepala menggunakan penukul.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak parah dipukul bapa guna tukul