Warga emas ditahan tikam budak di taman permainan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki warga emas dipercayai menikam kanak-kanak dalam kejadian di Taman Permainan Rumah Pangsa Jalan Loke Yew di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira jam 5.39 petang dan tiba di lokasi pada jam 5.49 petang.

Menurutnya, kanak-kanak lelaki berumur empat tahun itu telah dibawa oleh keluarga ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk rawatan lanjut.

"Mangsa dipercayai ditikam di perut dan paha," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Noor Dellhan berkata, suspek berumur lingkungan 80-an yang menyembunyikan diri di salah sebuah unit rumah pangsa tersebut berjaya ditahan.

"Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Siasatan sedang dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh tampil menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan: