Bekalan minyak masak peket di Pulau Pinang berkurangan

Bekalan minyak masak peket bersubsidi didakwa berkurangan di beberapa kedai runcit di kawasan pulau.
Bekalan minyak masak peket bersubsidi didakwa berkurangan di beberapa kedai runcit di kawasan pulau.
A
A
A

GEORGETOWN - Bekalan minyak masak peket bersubsidi didakwa berkurangan di kebanyakan kedai runcit di negeri ini sejak seminggu lalu.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subarrow berkata, tinjauan pihaknya mendapati 12 kedai runcit di kawasan pulau tiada bekalan minyak masak peket.

Menurutnya, perkara itu amat membimbangkan berikutan sambutan Deepavali bakal disambut pada 4 November ini.

"Bekalan minyak masak peket didapati mengalami kekurangan menjelang perayaan Deepavali dan ia menyukarkan keluarga yang berpendapatan kecil untuk membeli minyak masak di dalam botol yang lebih mahal.

"Tinjauan CAP di kedai-kedai, peniaga memberitahu bekalan minyak masak peket bersubsidi tiada, malah ejen juga belum menghantar bekalan kepada mereka.

"Perkara ini telah meresahkan kebanyakan suri rumah kerana mereka selalunya membeli minyak masak peket bagi menyediakan persiapan juadah ketika perayaan Deepavali," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Subarrow berkata, pihaknya juga turut menerima aduan daripada orang ramai mengenai kesukaran mereka mendapatkan bekalan minyak masak peket berkenaan.

"Masalah ini didakwa berlaku sejak seminggu lalu dan kita menerima banyak aduan daripada pengguna. Ini kerana, minyak masak peket antara bahan yang paling banyak digunakan sepanjang tempoh Deepavali.

Artikel Berkaitan:

"Daripada makluman peniaga, mereka mendakwa ejen hanya membekalkan 30 bungkus plastik minyak masak dan ia akan habis dibeli pelanggan dalam tempoh sehari sahaja," katanya.

Beliau berkata, semasa perayaan seperti Deepavali, pihak berkuasa berkaitan harus mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bekalan minyak masak peket mencukupi untuk kegunaan orang ramai.

"Kerajaan harus sedar dalam situasi Covid-19 yang dihadapi kini, kebanyakan pembeli tidak berkemampuan untuk membeli minyak masak botol dengan harga yang lebih tinggi.

"Selain itu, kita minta agar tidak mengehadkan hanya 30 peket minyak masak peket kepada pekedai kerana jumlah ini tidak mencukupi untuk menampung keperluan sepanjang Deepavali ini," katanya.