Tze Yong akui kian bersemangat

Ng Tze Yong
Ng Tze Yong
A
A
A

PEMAIN perseorangan muda negara, Ng Tze Yong berazam untuk memberikan aksi terbaik dalam usaha mencatatkan lebih banyak kejayaan pada kejuaraan pada masa depan.

Tze Yong yang mencipta sensasi tersendiri apabila muncul juara Antarabangsa Belgium pada Sabtu, juga mengakui kian bersemangat untuk mengharungi kejuaraan kompetitif berkenaan.

“Saya rasa prestasi saya agak konsisten pada kejohanan kali ini (Antarabangsa Belgium) kerana sejak peringkat awal saya diletakkan selaku pemain pilihan keenam.

“Selain itu, saya menyifatkan pertemuan dengan Ajay (Jayaram), tidak terlalu sukar, kerana saya telah bermain dengan taktikal yang betul dan feeling saya hari ini (Sabtu), bagus.

“Oleh itu, saya sungguh berbangga dengan persembahan yang saya pamerkan kali ini. Sebagai persediaan saya juga ada membuat latihan dan juga mengambil protein untuk proses pemulihan saya dan ia memang membantu saya kali ini,” katanya menerusi sidang media dalam talian pada Ahad.

Pada perlawanan akhir, Tze Yong yang muncul naib juara Terbuka Czech di Brno minggu lalu, mudah mengatasi pemain pilihan kelima, Ajay Jayaram, 34 tahun dari India yang berstatus 63 dunia straight set 21-14 dan 21-14.

Pemain berstatus ke-74 dunia berasal dari Johor yang tampil luar biasa di kejuaraan Piala Sudirman dan Piala Thomas sebelum itu menempah slot perlawanan akhir apabila menewaskan pemain Jepun, Yusuke Onodera 20-22, 21-15 dan 23-21 pada peringkat separuh akhir.

Kejuaraan Cabaran Antarabangsa Belgium ini merupakan kejuaraan kedua Tze Yong selepas menggegarkan Terbuka Poland pada Mac lalu, ini juga merupakan kejuaraan ketiga peribadinya selepas mengungguli saingan Antarabangsa Australia Selatan 2019.

Artikel Berkaitan:

Tze Yong dijangka menyertai kejohanan Terbuka Ireland di Dublin mulai 17 hingga 20 November diikuti Terbuka Scotland (25 hingga 28 November) dan Antarabangsa Wales di Cardiff yang bermula 1 hingga 4 Disember.

Sementara itu Tze Yong mengakui melakukan regangan selain mengambil protein dalam usaha memastikannya berada pada tahap terbaik.

Katanya, kedua-dua elemen itu dilihat banyak membantunya mengekalkan prestasi dalam mengharungi kejohanan pada masa depan.

“Saya ada buat stretching dan ada minum protein untuk recovery. Saya rasa ia boleh membantu agar persembahan saya tidak drop (jatuh) sangat.

“Untuk kejohanan akan datang, saya akan cuba berikan yang terbaik,” katanya.