Antara ulat parkir yang dicekup dalam operasi mengejut sekitar ibu negara.
A
A

KUALA LUMPUR - Memperoleh pendapatan mencecah hingga RM350 sehari dengan mengenakan caj parkir sebanyak RM20 kepada pengunjung yang meletakkan kenderaan di sekitar ibu negara.

Itu kegiatan haram dilakukan ulat parkir yang memperoleh duit dengan cara mudah.

Bagaimanapun, aktiviti itu lumpuh apabila sepasukan Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur membuat operasi mengejut sekitar pusat bandar raya yang berakhir awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, dalam operasi diketuai Asisten Superintendan Ahmad Mahmod bersama 14 anggota itu, 17 ular parkir berusia antara 24 dan 64 tahun dicekup.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam operasi bermula 12 tengah hari semalam mendapati, empat daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.

“Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 50 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan (gangguan dan desakan menyalahi undang undang).

Pengunjung dikenakan caj antara RM5 hingga RM20 mengikut premis dikunjungi.
Pengunjung dikenakan caj antara RM5 hingga RM20 mengikut premis dikunjungi.

“Hasil risikan mendapati lokasi tumpuan ulat parkir ini di sekitar restoran, pusat hiburan, pusat beli-belah, Jalan Chow Kit, Pudu Sentral, Bukit Bintang dan Jalan Tun Razak,” katanya.

Beliau berkata, risikan sebelum ini mendapati caj dikenakan ulat parkir berbeza mengikut premis dikunjungi orang ramai.

“Bagi kelab malam, ulat parkir ini kenakan caj antara RM10 dan RM20 manakala bagi premis kedai makan dan pusat beli-belah caj dikenakan adalah sebanyak RM5 ke RM10.

“Mereka ini adalah golongan gelandangan, penagih dadah dan juga orang awam biasa.

“Siasatan mendapati mereka mampu raih antara RM6 hingga RM350 setiap seorang dengan melakukan kerja ini,” katanya.