Syor insentif untuk golongan tidak merokok

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PADA pembentangan Bajet 2022, kerajaan mengumumkan dua langkah untuk memupuk budaya sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Yang pertama, cukai minuman gula yang diperluaskan kepada minuman berasaskan coklat, malt, kopi dan teh.

Keduanya, kerajaan mengumumkan kenaan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Ia adalah tindakan yang wajar disokong ke arah melahirkan rakyat yang sihat dan bebas daripada penyakit disebabkan oleh rokok elektronik.

Seiring usaha untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup sihat, Merak Jalanan ada satu cadangan yang wajar dipertimbangkan kerajaan dan pihak swasta iaitu dengan memberikan insentif kepada mereka yang tidak merokok.

Merak Jalanan fikir syor itu akan menjadi faktor pemangkin ke arah mengurangkan jumlah perokok.

Bantuan tunai secara one off boleh diberikan kepada golongan berkenaan seperti mana kerajaan memberikan bantuan sara hidup.

Mekanisme pemberian insentif juga boleh dilaksanakan melalui satu aplikasi khas seperti MySejahtera yang mewajibkan setiap pemohon menyertakan surat doktor yang mengesahkan mereka bukan perokok.

Artikel Berkaitan:

Aplikasi itu juga boleh dilengkapi dengan data penting seperti nombor akaun bank untuk penyaluran insentif dan kod bar untuk diskaun pelbagai produk makanan, kesihatan, pakaian, produk kelengkapan rumah atau alat elektronik yang mungkin disediakan oleh pihak swasta.

Walaupun pelaksanaannya memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan melibatkan kos, namun impak jangka panjang adalah baik untuk kerajaan, antaranya dapat melahirkan warga sihat dan mengurangkan jumlah kemasukan pesakit di hospital kerajaan akibat kesan asap rokok.