Kes bayi tertukar: Maklumat daripada pihak hospital tidak lengkap

Dari kiri: Dianah, Siti Suriani dan peguam cara daripada Tetuan Marcus Tan dan Co ketika mengadakan sidang akhbar pada Sabtu.
Dari kiri: Dianah, Siti Suriani dan peguam cara daripada Tetuan Marcus Tan dan Co ketika mengadakan sidang akhbar pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Maklumat yang diterima Siti Suriani Wahiddin, 23, dan Diana Hanani Abdullah, 23, atau Dianah iaitu ibu kepada bayi yang tertukar di sebuah hospital swasta di sini pada Jun lalu didakwa tidak lengkap.

Tetuan Marcus Tan dan Co iaitu peguam cara kepada ibu berkenaan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas daripada pihak hospital berkenaan laporan perubatan yang lengkap.

Menurutnya, ia adalah bagi mengambil langkah seterusnya kepada pihak hospital terbabit.

“Berkenaan kejadian bayi tertukar, pihak Siti Suriani dan Dianah telah melantik peguam cara untuk mendapat nasihat mengenai langkah-langkah seterusnya dan tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap hospital berkenaan.

“Pada masa ini, satu surat telah dihantar oleh Tetuan Marcus Tan dan Co kepada pihak hospital memohon kerjasama bagi menyediakan rekod kelahiran dan perubatan yang berkaitan,” kata kenyataan tersebut pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, pihaknya turut memfailkan satu permohonan bagi penzahiran pratindakan bagi mengenal pasti identiti kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.

Pada 11 Jun lalu, kejadian bayi tertukar berlaku apabila pihak hospital telah menyerahkan anak kepada Siti Suriani iaitu Aiman kepada Dianah setelah dibenarkan discaj.

Sehari selepas itu pula, anak kepada Dianah iaitu Aysar telah diserahkan kepada Siti Suriani apabila dibenarkan discaj dari wad berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Menurut Siti Suriani dan Dianah, sebelum mereka dibenarkan keluar dari wad hospital, pihak hospital hanya mengesahkan tag nama yang dipaparkan pada troli bayi sahaja.

“Pihak hospital tidak mengesahkan tag nama yang dipasang pada kaki bayi sebelum menyerahkannya kepada kedua-dua ibu bapa.

“Kejadian tragis tersebut hanya disedari apabila suami Siti Suriani membaca tag nama yang dipasang pada kaki bayi tersebut dan terus bergegas menghubungi pihak hospital untuk mendapat pengesahan,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, pihak hospital mengarahkan kedua-dua ibu bapa untuk datang ke hospital bersama bayi yang diserahkan kepada mereka.

“Sebelum datang ke hospital, kedua-dua ibu bapa telah membuat laporan di balai polis terdekat sebagai bukti.

“Siti Suriani dan Dianah berharap pihak hospital mampu memberikan penjelasan yang munasabah berkaitan kejadian ini,” tambah kenyataan tersebut.