APM Kedah siap sedia di 97 lokasi risiko air pasang besar

APM Kedah bersiap-siaga berdepan sebarang kemungkinan perubahan Monsun Timur Laut. Foto APM
APM Kedah bersiap-siaga berdepan sebarang kemungkinan perubahan Monsun Timur Laut. Foto APM
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai 1,500 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah bersiap-siaga untuk bertugas di 97 lokasi risiko fenomena air pasang besar.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, pihaknya bersama 1,500 keanggotaan bersiap-sedia memantau lokasi yang berisiko ditenggelami air susulan perubahan Monsun Timur Laut.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 47 lokasi risiko berada di Lembangan Sungai Kedah iaitu di utara manakala 49 lokasi lagi di Lembangan Sungai Muda yang berada di selatan negeri tersebut.

"APM sentiasa bersedia dan mengemaskini bacaan ramalan cuaca khususnya di lokasi berisiko di samping menghantar pasukan bagi tujuan pemantauan dari masa ke semasa.

"Selain bergantung kepada laporan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia, kami juga menerima maklumat dari komuniti jika berlaku banjir di lokasi baharu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, Kedah menerima fenomena perubahan Monsun Timur Laut setiap tahun dan persediaan dibuat serta dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Menurut Awang Iskandar, persediaan anggota itu seperti latihan serta penggunaan aset.

"Kami mempunyai aset seperti 70 bot, 14 lori dan 14 ambulans yang akan digunakan bagi berhadapan sebarang kecemasan," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri Kedah dan agensi berkaitan lain bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan perubahan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November depan.

Menurut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, rakyat Kedah perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan keadaan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada 4 November ini terutama penduduk yang tinggal berhampiran laut dan muara sungai.