Tiada konsensus, BN tak jadi bubar

A
A



Tiada konsensus, BN tak jadi bubar

Setelah pelbagai khabar angin yang menggoyahkan blok BN tersebar sebelum ini, akhirnya Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang bersidang hari ini tidak mencapai konsensus terhadap hasrat MCA membubarkan barisan itu.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dalam mesyuarat hari ini, MCA membentang resolusi parti mereka untuk membubarkan BN, namun UMNO dan MIC tidak setuju maka tiada konsensus dicapai berhubung cadangan itu.

Sementara itu, mengulas perkembangan terbaharu berkenaan perkahwinan UMNO dan Pas yang diikat secara rasmi pada 5 Mac lalu, Mohamad berkata kerjasama itu masih diperingkat UMNO dan Pas sahaja, tidak berkembang kepada BN namun, kedua-dua komponen iaitu MCA dan MIC faham tentang kesepakatan itu untuk membangunkan agenda ummah, Melayu dan Islam.

Dana RM90 juta: Giliran Nasrudin, Mokhtar ke SPRM hari ini

Dua pemimpin Pas Pahang hari ini dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin Pas.

Beliau merupakan Ahli Majlis Syura Ulamak Pas yang juga Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan dan ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang juga Ketua Dewan Ulamak Pas Pahang, Mokhtar Senik.

Mokhtar kelihatan tiba di perkarangan Pejabat SPRM Pahang di Indera Mahkota, kira-kira jam 9.50 pagi disusuli Nashrudin kira-kira jam 10.25 pagi.

Sebelum ini, artikel yang dilapor oleh Sarawak Report pada Ogos 2017 antara lain mendakwa dana berjumlah RM90 juta ‘dipercayai’ dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan Pas bagi menarik mereka supaya menyokong UMNO dan BN.

Nazri disingkir, Ku Nan kembali sebagai Setiausaha Agung BN

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz digugurkan daripada posisinya sebagai Setiausaha Agung BN.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang bersidang hari ini sepakat untuk mengembalikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Setiausaha Agung BN kerana beliau tidak pernah meletakkan jawatan yang disandangnya sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang antara lain menyatakan pelantikan Nazri sebagai Setiausaha Agung BN selepas PRU14 itu tidak diperakukan oleh semua komponen BN.

Pada 5 Mac lalu, MCA dan MIC dalam satu kenyataan bersama berkata, Nazri tidak layak untuk menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini.

Dua parti komponen itu berkata pelantikan Nazri sebagai Setiausaha Agung BN tidak sah kerana tidak mengikut Perlembagaan parti itu.

Penduduk dibenarkan kembali ke PPR Taman Manggis hingga Ahad

Kerajaan negeri membenarkan semua penduduk yang diusir dari rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di Georgetown kembali mendiami kediaman masing-masing.

EXCO Pembangunan Desa, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dr Afif Bahardin, berkata mereka bagaimanapun hanya dibenarkan mendiami unit berkenaan selama tiga hari, bermula hari ini.

Katanya, keputusan berkenaan dimuktamadkan selepas mengadakan perbincangan bersama EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo dan Pejabat Perumahan kerajaan negeri.

Sebanyak enam keluarga membabitkan hampir 40 isi rumah diusir dari unit kediaman masing-masing di PPR Taman Manggis di sini, dan berteduh di KOMTAR, sejak jam 12 tengah malam kelmarin.

Semua berteduh di pekarangan pejabat pentadbiran kerajaan negeri selepas hilang tempat berlindung, selain ada yang menumpang di surau ekoran arahan pengusiran dikeluarkan Kerajaan Pulau Pinang.

Michael Owen seronok dapat makan sate ‘terbaik’ di Malaysia

Sate merupakan makanan tradisional yang menjadi antara juadah kegemaran ramai, rupa-rupanya amat digemari bekas pemain Liverpool Michael Owen.

Menyifatkannya “terbaik” dan “sangat sedap”, Michael, 39, berkata beliau seronok dapat menikmatinya di Malaysia.

Pemain asal Chester itu pada Selasa lalu mengendalikan klinik bola sepak bersama pasukan bawah 19 tahun (B-19) Selangor di Padang SUK, Shah Alam.

Kali terakhir hadir ke Malaysia mewakili England untuk kejohanan Piala Dunia Remaja 1997, kunjungan Michael kali ini dengan kerjasama coklat Cadbury.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia