Air pasang besar: Bomba Selangor arah anggota lakukan rondaan

Orang ramai dinasihatkan agar mengelak daripada menghampiri lokasi-lokasi pantai atau kawasan yang mudah ditenggelami air sewaktu tempoh berkenaan.(Gambar kecil: Norazam)
Orang ramai dinasihatkan agar mengelak daripada menghampiri lokasi-lokasi pantai atau kawasan yang mudah ditenggelami air sewaktu tempoh berkenaan.(Gambar kecil: Norazam)
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengarahkan anggotanya untuk bersedia sepenuhnya bagi melakukan rondaan susulan fenomena air pasang besar dijangka pada 3 November ini.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, pihaknya sudah mengarahkan anggota di empat buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) berhampiran kawasan Sepang untuk melakukan pemantauan khususnya di lokasi pantai tumpuan.

Beliau berkata, antara BBP terlibat ialah BBP Sepang, BBP Banting, BBP Teluk Panglima Garang dan BBP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Pada tempoh berkenaan, cuti anggota juga dihadkan bagi membantu memantau keadaan sewaktu tempoh air pasang besar itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Fenomena air pasang besar dijangka melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor selama empat hari mulai 3 November depan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali berkata, fenomena tersebut akan menjadi lebih buruk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

Sementara itu, Norazam turut menasihatkan orang ramai agar mengelak daripada menghampiri lokasi-lokasi pantai atau kawasan yang mudah ditenggelami air sewaktu tempoh berkenaan.

"Kita sedia maklum bahawa pada tarikh air pasang besar itu adalah waktu cuti perayaan Deepavali dan hujung minggu. Jadi elakkan pergi ke lokasi-lokasi berkenaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan: