Warga emas buta hanya mampu berdoa supaya diselamatkan

Perkakas di rumah Halijah yang rosak ditenggelami air.
Perkakas di rumah Halijah yang rosak ditenggelami air.
A
A
A

POKOK SENA - Seorang warga emas orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam banjir kilat di Kampung Kotan, mukim Jabi di sini pada Sabtu.

Halijah Taib, 76, berkata, dia terperangkap sendirian selama beberapa jam di tingkat atas rumahnya berikutan hujan lebat bermula jam 4 petang disebabkan anak dan cucunya keluar dari rumah untuk mengalihkan kereta dan motosikal ke tempat lebih tinggi.

Ketika kejadian, dia berasa amat takut disebabkan mendengar deruan air laju masuk ke bawah rumahnya hingga terpaksa melarikan diri ke tingkat atas dengan berpaut pada alang tangga untuk menyelamatkan diri.

"Pada mulanya air naik ke paras lutut saya sahaja, sebelum paras air naik makin tinggi menyebabkan saya tiada pilihan dan terpaksa naik ke tingkat atas walaupun menghadapi masalah penglihatan.

"Saya tidak mampu berbuat apa-apa atau menyelamatkan barang-barang dalam rumah. Saya hanya mendengar peralatan elektrik seperti peti ais jatuh dalam air," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kotan di sini pada Ahad.

Halijah berkata, ketika itu dia hanya mampu berdoa kepada ALLAH SWT supaya diselamatkan.

Halijah menceritakan detik cemas terperangkap dalam rumahnya yang dinaiki air pada Sabtu.
Halijah menceritakan detik cemas terperangkap dalam rumahnya yang dinaiki air pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

"Mujur anak saudara (Muhd Ridzuan Saad, 44) yang bimbangkan keselamatan menelefon dan menenangkan saya. Dia meminta saya tunggu di satu pintu di bahagian atas rumah untuk diselamatkan," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur apabila anak saudaranya datang bersama anggota bomba dengan menaiki sebuah bot sebelum memindahkannya ke rumah saudara yang lebih tinggi.

Tinjauan Sinar Harian bersama Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pada Ahad mendapati, lapan keluarga dari Kampung Hutan Gelam di sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Permatang Limau.

Mahfuz berkata, penduduk mungkin akan dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tualang di sini sekiranya keadaan banjir di beberapa kampung di Pokok Sena semakin teruk.

Mahfuz (kiri) mendengar kisah Ah Man dari Kampung Hutan Gelam yang terpaksa dipindahkan ke PPS Surau Permatang Limau apabila rumahnya dimasuki air.
Mahfuz (kiri) mendengar kisah Ah Man dari Kampung Hutan Gelam yang terpaksa dipindahkan ke PPS Surau Permatang Limau apabila rumahnya dimasuki air.

Menurutnya, banjir selepas hujan lebat selama beberapa jam itu bukan hanya menyebabkan rumah penduduk dinaiki air tetapi sawah padi diusahakan penduduk juga musnah akibat ditenggelami air.

"Malah, pesawah terpaksa menanggung kerugian apabila hampir 8.64 hektar sawah padi diusahakan mereka di sekitar kawasan ini yang hanya menunggu masa untuk dituai, kini rosak," ujarnya.

Sehubungan itu, Mahfuz meminta kerajaan memberi perhatian isu berkenaan, sekali gus menyalurkan bantuan sewajarnya kepada pesawah yang terkesan akibat sawah padi musnah disebabkan banjir.

"Antara lain, membersihkan segera sistem perparitan yang dipenuhi dengan pokok bagi melancarkan aliran air, sekali gus mengurangkan risiko banjir kepada penduduk setempat," katanya.

Sementara itu, salah seorang mangsa banjir yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Man, 75, berkata, dia terpaksa berpindah dan bermalam di Surau Kampung Permatang Limau apabila rumahnya dinaiki air tinggi hingga ke paras kira-kira 0.3 meter.

Wanita itu berkata, dia mengambil keputusan berpindah ke PPS disebabkan bimbang dengan keselamatan diri dan anaknya apabila rumahnya dikelilingi air umpama lautan.

"Ini banjir paling teruk tahun ini. Saya bimbang apabila paras air amat tinggi, apatah lagi salah seorang anak saya ada ternampak haiwan berbisa seperti ular senduk dan lipan," katanya.

Menurutnya, dia juga sedih apabila tidak sempat menyelamatkan satu pun barangan elektrik dan perabot kerana air naik terlalu cepat sehingga menenggelamkan bahagian bawah rumahnya.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, bilangan mangsa banjir di Kedah pada petang Ahad meningkatkan.

Beliau berkata, sehingga jam 4 petang Ahad, seramai 503 mangsa daripada 153 keluarga terlibat berbanding 446 mangsa melibatkan 139 keluarga pada pagi Ahad.

Menurutnya, mangsa banjir di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah, Pendang bertambah 12 orang menjadikan jumlah setakat ini ialah 188 mangsa daripada 49 keluarga, berbanding 176 mangsa dari 45 keluarga pada jam 8 pagi Ahad.

"Di Baling, mangsa banjir turut mencatatkan peningkatan iaitu daripada 234 mangsa daripada 80 keluarga kepada 279 mangsa daripada 90 keluarga yang ditempatkan tujuh PPS di Baling," katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 124 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai, selain Dewan Orang Ramai Banggol Derom (46), SK Tengku Putera (26), SK Keda (24), SK Tanjung Pari (24), SK Siong (21) dan SK Titi Gantung (14).

Tambah Mohd Muaz, bilangan mangsa di PPS Surau Permatang dan Masjid Sungai Durian kekal seramai 36 mangsa daripada 14 keluarga pada petang Ahad.