Masing bersiap sedia hadapi PRN Sarawak sebelum meninggal dunia

Mayat mendiang Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing, 72, dibawa keluar dari Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya pagi Ahad. - Foto Bernama
Mayat mendiang Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing, 72, dibawa keluar dari Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya pagi Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing telah membuat semua persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak, lama sebelum beliau jatuh sakit, kata Timbalan Presiden PRS, Datuk Joseph Salang Gandum.

Beliau berkata, Masing telahpun temu bual selain mengadakan perbincangan dengan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri dari PRS bagi menyatakan sama ada mereka akan dikekalkan atau tidak, selain apa yang perlu mereka lakukan sebelum pilihan raya.

“Bahagian itu, dari segi persediaan untuk pilihan raya, malah telah dilakukan agak lama dahulu. Ia telah bermula sejak akhir tahun lepas (kerana) kami telah menjangkakan kemungkinan berlakunya pilihan raya, namun ia telah ditangguhkan disebabkan peningkatan kes Covid-19,” katanya.

Salang berkata demikian ketika ditemui di kediaman Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang telah meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak di sini pada Ahad.

Masing, 72, telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak (HUS) pada September lepas, selepas disahkan positif Covid-19 sebelum dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.

Salang berkata, mesyuarat majlis tertinggi PRS pada Ahad akan diteruskan seperti dijadualkan kerana notis untuk mesyuarat itu telahpun dihantarkan kepada kesemua ahli majlis dan beliau telahpun memaklumkan mengenai perkara itu kepada Setiausaha Agung parti, Datuk Janang Bungsu.

“Walaupun ada yang mengatakan bahawa mesyuarat itu akan ditangguhkan, tetapi saya telah memaklumkan kepada setiausaha agung parti, bahawa mesyuarat itu perlu diteruskan,” katanya dan menambah yang beliau akan mempengerusikan mesyuarat pada ketika ketiadaan presiden parti.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan membincangkan persediaan pengebumian Masing sebelum membincangkan hala tuju parti berikutan pemergian presiden parti mereka.

Artikel Berkaitan:

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016, PRS yang diketuai Masing menang 12 kerusi dan merupakan sebahagian daripada parti komponen Barisan Nasional, sebelum membuat keputusan meninggalkan pakatan itu pada 2018 bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demoktratik Progresif (PDP) bagi membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS). - Bernama