Warisan akan ambil tindakan undang-undang terhadap Mohamaddin

Assaffal (dua dari kiri) pada sidang akhbar di Lahad Datu.
Assaffal (dua dari kiri) pada sidang akhbar di Lahad Datu.
A
A
A

LAHAD DATU - Tindakan undang-undang akan diambil terhadap Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Sabtu.

Ahli Majlis Tertinggi Warisan merangkap Timbalan Ketua Bahagian Warisan Lahad Datu, Assaffal P Alian berkata, tindakan itu selaras dengan peruntukan undang-undang dan perlembagaan parti.

"Apabila keluar parti, maka kita terikat kepada perlembagaan parti dan kita serah kepada kepimpinan Pusat untuk sebarang tindakan dan ia bergantung kepada keputusan Presiden parti (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal).

"Sebagai parti yang berpegang teguh kepada prinsip dan juga disiplin, saya rasa apa juga tindakan yang akan dibuat masa akan datang mestilah berlandaskan kepada perlembagaan parti," katanya dalam sidang akhbar pada Ahad.

Assafal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku kini memangku Ketua Warisan Bahagian Lahad Datu bagi mengisi kekosongan jawatan itu berikutan tindakan Mohammadin keluar parti.

Pelantikannya diumumkan oleh Ketua Penerangan Warisan, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari dalam sidang akhbar itu.

Assafal menegaskan bahawa kepimpinan Warisan Lahad Datu akan terus setia dan kekal bersama Presiden mereka, Mohd Shafie.

"Kita akan menyerahkan kepada kebijaksanaan presiden dan majlis tertinggi parti untuk melantik ketua bahagian sebagai 'caretaker' sehinggalah pemilihan ketua bahagian dibuat pada mesyuarat perwakilan pada masa akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Awang Ahmad Sah berkata, tindakan Mohamaddin yang juga ADUN Segama keluar Warisan tidak memberi sebarang kesan kepada parti itu.

Katanya, tindakannya itu tidak mengejutkan dan sudah lama dijangka kerana sebelum ini beliau dilihat seperti menjauhkan diri dan tidak mengendahkan sebarang aktiviti politik yang dirancang pimpinan parti pusat di Lahad Datu serta presiden mereka.

"Jadi perkara ini sudah lama kita jangka tetapi kita ingin maklumkan bahawa walaupun Datuk Mohammadin Ketapi meninggalkan kita, Warisan di Bahagian Lahad Datu atau di peringkat negeri tetap kukuh dalam perjuangan ini," katanya.