Pas sedia main 100 'kolam' demi penyatuan ummah

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Pas bersedia bermain dalam 100 ‘kolam’ demi untuk penyatuan ummah.

Itu ketegasan dinyatakan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berhubung pendirian parti itu sama ada akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, ketetapan itu bukan disebabkan Pas rakus kuasa, sebaliknya mahu melihat UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas kembali bergabung.

“Main 100 'kolam' pun tak apa sekiranya atas nama penyatuan, perpaduan dan kesatuan politik Islam Melayu.

"Sekiranya ada 100 'kolam' pun, kita akan berenang, jangan kata dua atau tiga, lebih pun kami bersedia,” katanya pada sidang media selepas perasmian penutup MyDigitalMaker Virtual Fair Negeri Kedah (MaiReka) di Wisma Darul Aman pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, Pas sedang berusaha melakukan kerja-kerja pendamaian bagi menyatukan semula semua parti dalam PN dengan semangat setiakawan yang tinggi.

“Semangat setiakawan dalam MN mahupun PN akan dihargai. Allah SWT perintahkan apabila berlaku perbalahan untuk kita damaikan pihak yang berbalah. Mana boleh pendamai dikatakan rakus kuasa.

Rundingan masih dijalankan sehingga kini untuk elak pertembungan tiga penjuru,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penyatuan akan menguntungkan semua pihak, manakala perpecahan hanya merugikan dan melemahkan kita.

“Siapa nak untung, siapa nak rugi, tentulah orang nak untung. Oleh itu jangan letakkan kepentingan peribadi di hadapan, halangan yang boleh bantutkan usaha penyatuan kita ketepikan,” katanya lagi.

Muhammad Sanusi berkata, biarpun Pas dilihat seolah dilema untuk memilih antara PN dan MN, namun realitinya Pas bersedia menjalin kerjasama dengan pihak mahukan kepada penyatuan.

“Dalam dilema itu bukan Pas, tetapi orang lain. Pas tiada masalah apa-apa, sesiapa yang mahu kepada penyatuan dipersilakan. Pas bersedia bekerjasama dengan kedua-duanya sekaligus,” katanya.

Menurutnya, adalah tidak adil untuk melabel Pas sebagai rakus kuasa apabila menjalin kerjasama dengan MN dan PN serentak, kerana parti itu hanya mahu menyatukan politik Islam Melayu.

“Ini bukan kerakusan kuasa tetapi kewajipan Pas untuk menyatukan umat Islam. Mana boleh kata itu kerakusan kuasa, adalah dosa menuduh Pas rakus.

"Penyatuan itu suatu kewajipan, penyatuan ummah wajib manakala perpecahan haram dan harus dielakkan. Apabila ia suatu kewajipan dalam agama, kita perlu tunaikan. Bukan sekadar suka-suka atau atas kepentingan sesiapa, saya harap perkara ini dilaksana semua pihak,” katanya.

Pada Sabtu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi bayangan bahawa masih ada ruang untuk Pas, UMNO dan Bersatu duduk bersama dalam menghadapi PRN Melaka pada 20 November depan.

Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pula pada Rabu, memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan Pas pada PRN Melaka menerusi Muafakat Nasional (MN) namun tiada pendirian dinyatakan mengenai kerjasama dengan Bersatu.