Klopp puji kualiti dimiliki Potter mengendali Brighton

Klopp (kiri) dan Potter ketika menyaksikan anak buah mereka beraksi dalam saingan liga di Anfield. FOTO: AFP
Klopp (kiri) dan Potter ketika menyaksikan anak buah mereka beraksi dalam saingan liga di Anfield. FOTO: AFP
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan rakan setugasnya, dari Brighton & Hove Albion, Graham Potter memiliki kualiti untuk memacu The Seagulls ke tahap lebih tinggi pada masa depan selepas menyaksikan pelawat bangkit mengikat tuan rumah 2-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield.

Pada perlawanan itu, jaringan Enock Mwepu dan Leandro Trossard memadam dua gol pendahuluan awal The Reds Jordan Henderson dan Sadio Mane, bagi membolehkan pelawat membawa pulang satu mata dari Anfield sekali gus mengakhiri kemenangan keempat berturut-turut The Reds dalam seluruh kejuaraan musim ini

Anak buah Potter sebelum ini menang dalam empat dari lima perlawanan pembukaan The Seagulls sebelum seri empat dari lima perlawanan terakhir dengan mengumpul 16 mata selepas mengharungi 10 perlawanan.

“Potter memiliki sesuatu yang sebenarnya amat diperlukan seorang pengurus pasukan, biarpun saya tidak mengenali rapat Potter, namun apa yang boleh saya katakan dia merupakan lelaki yang baik, malah prestasi dipamerkan Brighton merupakan cerminan dirinya. Itu merupakan petanda baik buat Brighton.

“Dia mempunyai idea yang jelas mengenai permainan bola sepak dan menterjemahkannya dengan sempurna bersama Brighton. Saya tidak mahu memperkatakan mengenai Potter seperti diperkatakan pengendali kelab lain Liga Perdana. Sebaliknya saya percaya dia tidak perlu bimbang mengenai masa depannya.

“Saya tidak mahu mengambil sebarang bentuk perkara dari perlawanan ini, namun pada hari ini Liverpool sepatutnya mampu mengalah Brighton namun sebaliknya yang berlaku. Sejujurnya kami tidak seharusnya menamatkan perlawanan dengan keputusan seri, namun saya tidak menafikan kemampuan Brighton untuk mengikat Liverpool,” kata Klopp.

Liverpool akan kembali berentap di pentas peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, apabila dijadualkan melayan kunjungan kelab La Liga, Athletico Madrid pada minggu ini.

Artikel Berkaitan: