'Kepulangan' Masjid Kampung Laut rancak industri pelancongan

Nancy (kanan) dan Mustapa melihat produk serunding yang dihasilkan penduduk pada Majlis Penyerahan Laman Warisan Serunding Kampung Laut daripada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
Nancy (kanan) dan Mustapa melihat produk serunding yang dihasilkan penduduk pada Majlis Penyerahan Laman Warisan Serunding Kampung Laut daripada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
A
A
A

TUMPAT - Pembangunan semula Kampung Laut dan kepulangan Masjid Kampung Laut yang berusia 300 tahun ke tapak asalnya dilihat membuka lembaran baharu dalam merancakkan sektor pelancongan negara pada masa akan datang.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu selari dengan Dasar Kebudayaan Negara (Daken) 2021 yang telah dilancarkan pada 26 Oktober lalu yang menggariskan wawasan menjadikan Malaysia ‘Negara Maju Rakyat Berbudaya’.

"Dasar ini akan menjadi inspirasi dan iltizam kepada MOTAC untuk memastikan kelestarian seni, budaya dan warisan dapat diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya,” katanya semasa berucap di Majlis Penyerahan Laman Warisan Serunding Kampung Laut daripada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kepada MOTAC, di sini pada Ahad.

Majlis penyerahan kunci disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat kepada Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Menurutnya, MOTAC menyokong penuh cadangan mencalonkan Masjid Kampung Laut sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Beliau berkata, selain itu MOTAC berhasrat mencalonkan Laman Warisan Serunding Kampung Laut sebagai Tapak Warisan Kebangsaan.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Sarawak itu berkata, kedua-dua projek tersebut berpotensi besar untuk diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah UNESCO kerana ia memenuhi kriteria pencalonan iaitu lokasi tradisi budaya yang unik dan juga contoh seni bina luar biasa.

Artikel Berkaitan:

“Negeri Kelantan kaya dengan budaya dan warisan yang unik dan perlu dipulihara serta diketengahkan ke persada antarabangsa,” katanya.

Laman Warisan Serunding Kampung Laut menyediakan ruang niaga untuk sembilan usahawan tempatan Kampung Laut yang menjual makanan istimewa tempatan seperti serunding, dodol dan gelembung buaya.

Pakej Dua Projek Pembangunan Semula Kampung Laut dijangka siap awal tahun depan terdiri daripada Laman Warisan Seni Kampung Laut dan pemindahan semula Masjid Kampung Laut berusia 300 tahun, masjid tersebut sebelum ini terletak di kampung tersebut namun dipindahkan ke Nilam Puri, Kota Bharu selepas tapak asalnya ditenggelami air akibat banjir.