Galak swasta, kerajaan urus pendidikan bersama

Maszlee - Foto Bernama
Maszlee - Foto Bernama
A
A
A

SEMPORNA - [DIKEMASKINI] "Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggalakkan sesi libat urus pendidikan antara sektor swasta bersama kerajaan dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara," kata Menterinya, Dr Maszlee Malik.

Misalnya, Maszlee berkata, melihat kepada usaha Yayasan Teach For Malaysia (YTFM) dalam membantu memperkasa penguasaan Bahasa Inggeris pelajar di sekolah luar bandar seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Bugaya di Semporna.

"Kita (KPM) berterima kasih kepada TFM yang menghantar felo untuk datang mengajar dalam subjek Bahasa Inggeris di sini.

“TFM telah mengubah pelajar menjadi berani dan berkeyakinan, saya mahu lebih banyak sektor swasta dan badan bukan kerajaan membantu seperti apa yang TFM lakukan dan pada kami (KPM), kami galakkan semua usaha, sesiapa atau semua, untuk menyumbang kepada pembinaan negara dan meningkatkan tahap sistem pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Semporna di sini, hari ini

Maszlee dalam sesi lawatan sehari itu berpeluang meninjau keadaan tiga sekolah di sini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Bugaya, Sekolah Kebangsaaan (SK) Pulau Omadal serta SK Pulau Mabul.

Sementara itu, katanya KPM serta Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah komited bekerjasama dalam pembangunan pendidikan termasuk infrastruktur sekolah di negeri ini.

"Kita melihat isu baik pulih, naik taraf sekolah dan penyelengaraan infrastruktur di Sabah sebagai antara keutamaan kita, selain memberi tumpuan terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran," katanya pada tahun 2018 sahaja 120 sekolah daif di negeri ini dibaik pulih.

Maszlee dalam lawatan ke SK Pulau Omadal, beliau menyaksikan penyerahan kunci bangunan sekolah yang dinaik taraf secara Teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Artikel Berkaitan:

Bangunan IBS itu siap untuk diduduki dengan kos pembaikannya RM2.84 juta terdiri daripada tiga bilik darjah, satu bilik makmal sains serta enam unit tandas. Dalam lawatannya ketiga-tiga sekolah itu, pihaknya turut menyerahkan dana penyelenggaraan sekolah RM100,000 kepada SMK Bugaya serta RM50,000 masing-masing kepada SK Pulau Omadal dan SK Pulau Mabul.

Selain itu, di SK Pulau Mabul, Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka meluluskan sumbangan buku-buku bernilai RM2,000.

Sesi lawatan Maszlee itu turut disertai Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob, Setiausaha KPM, Datuk Dr Mohd Ghazali Abas dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Mistirine Radin. - Bernama