Himpunan Jihad Perkasa: Polis tidak terima notis pemakluman

Himpunan Jihad Perkasa dijalankan di Jalan Raja Alang, Kampung Baharu, dengan menghimpunkan ahli dari seluruh negara.
Himpunan Jihad Perkasa dijalankan di Jalan Raja Alang, Kampung Baharu, dengan menghimpunkan ahli dari seluruh negara.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Polis tidak menerima sebarang notis pemakluman berhubung penganjuran Himpunan Jihad Perkasa, hari ini.

Kira-kira 100 ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dari seluruh negara berhimpun di hadapan sebuah hotel di Jalan Raja Alang, Kampung Baharu, di sini kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, pihaknya tidak dimaklumkan daripada penganjur untuk himpunan itu.

"Mana-mana pihak yang hendak membuat sebarang bentuk himpunan atau mesyuarat perlu serah notis pemakluman kepada polis.

"Ini untuk polis membuat kawalan bagi elak ancaman pihak ketiga," katanya kepada Sinar Harian.
Artikel Berkaitan:


Ketika ditanya sama ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku, Shaharudin berkata, keadaan berlangsung aman.

Difahamkan, lebih 200 anggota polis bertugas sepanjang himpunan yang berlangsung kira-kira 45 minit.

Selepas himpunan itu juga, Perkasa turut mengadakan Persidangan Agung Tahunan Perkasa Malaysia 2018 yang diadakan di Regency Hotel, di sini.