WHO gesa tukar jadual edaran vaksin untuk agihan lebih adil

Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus
Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus
A
A
A

GENEVA - Negara yang sudah mencapai sasaran 40 peratus vaksin, digesa untuk sedia bertukar-tukar jadual penghantaran vaksin dengan kemudahan perkongsian vaksin, berikutan 82 negara berisiko gagal mencapai sasaran vaksinasi global menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus memberitahu, mesyuarat kemuncak G20 di Rom bahawa tujuh bilion vaksin menentang Covid-19 sudah diberikan di seluruh dunia ketika ini, tetapi beliau turut memberikan amaran.

“Negara berpendapatan rendah, kebanyakannya di Afrika hanya menerima 0.4 peratus vaksin terbabit dengan lebih 80 peratus lagi vaksin diedarkan kepada negara G20,” lapor Anadolu memetik kenyataan Tedros.

Beliau menjelaskan, memang kesaksamaan perolehan vaksin bukan kebajikan tetapi ia adalah untuk kebaikan semua negara.

“Kami mengalu-alukan sokongan anda terhadap sasaran WHO untuk memberikan vaksin kepada 40 peratus populasi setiap negara menjelang akhir tahun ini dan 70 peratus pada pertengahan 2022,” kata Tedros sambil menambah, 82 negara berisiko gagal mencapai sasaran itu.

“Bagi kebanyakan negara, kekangan yang mereka hadapi adalah tidak cukup bekalan bukan aspek kemampuan.” katanya.

Sehubungan itu, Tedros berkata, negara yang sudah mencapai sasaran 40 peratus diminta sedia menukar jadual penghantaran mereka dengan COVAX, kemudahan pengagihan global untuk memastikan pengedaran saksama vaksin serta dengan AVAT, Tabung Amanah Pemerolehan Vaksin Afrika.

Ketika G20 bersidang kurang setahun lalu selepas wabak melanda, 1.5 juta terkorban akibat Covid-19 dan setahun kemudian, jumlah itu meningkatkan kepada lima juta, kata ketua WHO itu.

Artikel Berkaitan:

“Kami merayu anda untuk menyokong pengeluaran vaksin domestik di Afrika,” katanya dan menggesa negara yang sebelum ini berjanji untuk menyumbang vaksin supaya segera mengotakan janji mereka.

Beliau juga merayu negara anggota G20 supaya membiayai fasiliti Penggalak Akses Covid-19, yang memerlukan AS$23.4 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang, bagi membolehkan saringan, rawatan dan vaksin dihantar ke kawasan yang benar-benar memerlukan.

Tedros turut merayu sokongan terhadap cita-cita tinggi G20 bagi membentuk Pasukan Petugas Kewangan-Kesihatan yang mempunyai kaitan dengan dana kewangan, bagi memperkasa tahap kesiapsiagaan dan pembiayaan tindak balas wabak.

WHO turut berharap negara G20 dapat meluluskan satu perjanjian antarabangsa yang terbit daripada perlembagaan WHO serta melabur untuk mengukuh dan membiayai WHO. -Bernama