Suami isteri antara tujuh ditahan, RM4.2 juta dadah dirampas

Razarudin (dua kanan) menunjukkan rampasan dadah yang dilakukan dalam empat siri serbuan sekitar Johor Bahru, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, pada Ahad.
Razarudin (dua kanan) menunjukkan rampasan dadah yang dilakukan dalam empat siri serbuan sekitar Johor Bahru, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sepasang suami isteri yang merupakan dalang sindiket penyeludupan dan pengedaran pelbagai jenis dadah bernilai RM4.2 juta, antara tujuh ditahan dalam empat serbuan sekitar daerah ini dari 21 hingga 28 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, serbuan JSJN Bukit bersama JSJN Johor itu dilakukan di Kempas, Setia Indah dan Setia Tropika sebelum menahan tujuh suspek termasuk seorang wanita warganegara China berusia 39 hingga 48 tahun.

"Hasil serbuan JSJN telah berjaya merampas 115.1 kilogram (kg) dadah jenis syabu, 528 gram (g) dadah jenis ketamin, 52.8g dadah ekstasi, 91.8g jenis mushroom, 10.5g dadah jenis eramin 5 dan 9.17g dadah jenis pil Yaba yang dianggarkan bernilai RM4.2 juta.

"Dalam serbuan itu, kita turut berjaya menahan pasangan suami isteri warga tempatan berusia 41 dan 48 tahun yang dipercayai dalang sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah terbabit," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Ahad.

Katanya, polis turut merampas seutas rantai emas, lima buah kereta, wang tunai RM6,870 selain membekukan 11 akaun bank dengan anggaran keseluruhan rampasan yang bernilai RM689,601.

Razarudin berkata, sindiket itu dipercayai memperoleh bekalan tersebut dari negara jiran yang dibawa masuk dari negeri di bahagian utara dan mampu menampung keperluan seramai 587,222 penagih.

"Kita percaya kumpulan ini bukan sahaja mengedar dadah untuk pasaran tempatan tetapi juga untuk kegunaan antarabangsa dadah. Sindiket yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar di negeri ini telah mula aktif sejak pertengahan tahun ini," katanya.

Menurut beliau, empat buah rumah yang diserbu itu dijadikan tempat untuk membungkus semula dadah dan setiap bungkus berkenaan seberat satu kg.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati lima suspek termasuk pasangan suami isteri yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Razarudin memberitahu, ujian air kencing terhadap enam suspek termasuk pasangan suami isteri itu juga didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman sehingga Isnin bagi membantu siasatan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.