Kedudukan tiga ADUN Melaka: PH ambil kira tindakan kembalikan mandat

Anwar
Anwar
A
A
A

PORT DICKSON - Perbincangan mengenai kedudukan bekas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka sama ada diterima bertanding di bawah tiket Pakatan Hadapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan, kini di peringkat akhir.

Pengerusi PH juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya tidak boleh mengetepikan bekas ADUN itu yang sebelum ini berusaha mengembalikan mandat kepada PH untuk mentadbir Melaka.

"Pertama, mereka sokong untuk kembalikan mandat kepada kita (PH), kedua, persefahaman untuk mereka bersama dan kemudian kalau mereka ambil keputusan, mereka sudah menjangkakan akan dipecat oleh parti.

"Oleh yang demikian, jika kita nak ketepikan begitu sahaja tidak boleh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Majlis sumbangan bakul makanan sempena Deepavali di Dewan Orang Ramai Kampung India, Bukit Pelandok di sini pada Ahad.

Anwar menyampaikan bakul makanan di Dewan Orang Ramai Kampung India, Port Dickson pada Ahad.
Anwar menyampaikan bakul makanan di Dewan Orang Ramai Kampung India, Port Dickson pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan PH masih belum mencapai kata sepakat mengenai kedudukan tiga bekas ADUN Melaka untuk bertanding atas tiket gabungan pakatan itu pada PRN bulan depan.

Tiga bekas ADUN itu merupakan Datuk Seri Idris Haron, Datuk Noor Effandi Ahmad dan Datuk Nor Azman Hassan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, PH sebelum ini telah membuat keputusan untuk menolak seorang lagi bekas ADUN iaitu Datuk Norhizam Hassan Baktee daripada menjadi calon mereka dalam PRN Melaka.

Anwar berkata, ketika ini perbincangan menjurus kepada kedudukan tiga bekas ADUN.

"Sekarang tinggal tiga...kita masih dalam peringkat akhir (perbincangan) sebab kita perlu jelaskan juga kedudukan ini.

"Mereka mengambil keputusan menyokong PH, memulihkan mandat kepada PH yang dirampas dan dikhianati sebelumnya," katanya.