14 ditahan memandu dalam keadaan mabuk

Operasi mingguan JSPT Kuala Lumpur yang diadakan di beberapa kawasan sekitar ibu kota.
Operasi mingguan JSPT Kuala Lumpur yang diadakan di beberapa kawasan sekitar ibu kota.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 14 lelaki ditahan kerana didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Ops Pelbagai Kesalahan yang dijalankan di beberapa kawasan sekitar ibu kota bermula Jumaat hingga Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam tempoh tersebut, pihaknya turut menjalankan Ops Samseng Jalanan dan Ops Motosikal.

Menurutnya, 14 lelaki berusia dalam lingkungan 25 hingga 64 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Kesemua tangkapan dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah seksyen sama," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sarifudin berkata, seorang penganggur berusia 35 tahun ditahan kerana menunggang motosikal curi, manakala dua lelaki pula ditahan kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu dalam Ops Motosikal di Jalan Pahang dan Jalan Ipoh.

"Lelaki tersebut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan bersangkut dengan Kuang Repot 002792/21 dan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

"Dalam operasi sama di Jalan Ipoh, dua penunggang motosikal berusia 18 dan 24 tahun ditahan di bawah Seksyen 299 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memalsukan nombor pendaftaran," katanya.

Sementara itu, katanya, unit risikan JSPT Kuala Lumpur berjaya menahan enam mat rempit berusia dalam lingkungan 17 hingga 39 tahun dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke).

Artikel Berkaitan:

"Mereka menunggang dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing. Kesemua mereka akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Menurut Sarifudin, secara keseluruhan sebanyak 297 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala 15 buah motosikal turut disita dalam operasi mingguan selama tiga hari tersebut.

"15 motosikal disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubahsuai struktur kenderaan (ekzos).

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarah mengubah ke struktur asal," katanya.