10 PPS dibuka di Kedah, tempatkan 446 mangsa banjir

Banjir di beberapa daerah di Kedah menyebabkan 10 PPS dibuka setakat Ahad bagi menempatkan mangsa. - Foto JBPM.
Banjir di beberapa daerah di Kedah menyebabkan 10 PPS dibuka setakat Ahad bagi menempatkan mangsa. - Foto JBPM.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga daerah di Kedah membabitkan 446 mangsa daripada 139 keluarga sehingga jam 8 pagi Ahad.

Ketua Bahagian Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, 10 PPS membabitkan tujuh di Baling, dua di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 176 mangsa daripada 45 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah di Pendang.

"Di Baling, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai menempatkan seramai 124 mangsa, Dewan Orang Ramai Banggol Derom (39), SK Tunku Putera (26), SK Keda (24), SK Siong (18) dan SK Titi Gantung menempatkan tiga mangsa.

"PPS SK Tanjung Pari masih aktif dibuka biarpun tiada mangsa sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya masih berlaku banjir dan mangsa perlu berpindah segera," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, setakat ini, keseluruhan mangsa banjir di Baling berjumlah 234 orang daripada 80 keluarga.

Keadaan banjir di daerah Pokok Sena menyebabkan dua PPS dibuka bagi menempatkan mangsa. - Foto Media sosial.
Keadaan banjir di daerah Pokok Sena menyebabkan dua PPS dibuka bagi menempatkan mangsa. - Foto Media sosial.

Tambah beliau, di Pokok Sena, PPS Surau Permatang menempatkan 22 mangsa dan PPS Masjid Sungai Durian pula seramai 14 mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Pokok Sena seramai 36 orang daripada 14 keluarga," katanya.

Katanya, orang ramai diminta berhati-hati dalam berhadapan situasi banjir selain mengawasi pergerakan kanak-kanak.

"Patuhi arahan pihak berkuasa dan pantau keselamatan ahli keluarga terutama kanak-kanak dan golongan berusia bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.