Tiada laporan kejadian rogol di Kota Marudu: Polis

Zairolnizal Ishak
Zairolnizal Ishak
A
A
A

KOTA MARUDU - Polis Kota Marudu mengesahkan tiada sebarang laporan membabitkan kejadian rogol yang berlaku di Pekan Kota Marudu, seperti didakwa dan tular di media sosial, sejak petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan membabitkan kes seperti yang didakwa.

Menurutnya, pihak polis terkesan dengan kenyataan yang tidak diketahui sumber termasuk identiti penulis, tarikh dan masa penulisan dibuat.

"Kenyataan itu menyatakan berlaku satu kejadian rogol melibatkan seorang wanita berusia 18 tahun di hadapan sebuah pasar raya di Kota Marudu.

"Kejadian dikatakan dilakukan oleh sekumpulan lelaki bersenjata parang menggunakan kereta jenis Proton Saga berwarna hitam.

"Polis Daerah Kota Marudu mengesahkan bahawa tidak ada sebarang laporan polis diterima berkaitan kejadian ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Sehubungan itu, Zairolnizal berkata, orang ramai termasuk warganet diminta untuk menghentikan penyebaran kenyataan itu.

"Warganet juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia hanya akan menimbulkan kegusaran awam.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil untuk membuat laporan polis," katanya.