15 pengunjung Pulau Pangkor dikenakan kompaun

Polis menjalankan pemeriksaan di lokasi tumpuan untuk memastikan semua pengunjung ke Pulau Pangkor mematuhi SOP Fasa Tiga PPN yang masih berkuatkuasa.
Polis menjalankan pemeriksaan di lokasi tumpuan untuk memastikan semua pengunjung ke Pulau Pangkor mematuhi SOP Fasa Tiga PPN yang masih berkuatkuasa.
A
A
A

LUMUT - Seramai 15 pengunjung di pusat peranginan Pulau Pangkor dikenakan kompaun selepas dikesan melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 pada Sabtu.

Kompaun bernilai keseluruhan RM23,000 itu dikenakan hasil pemantauan ke atas pengunjung di kedai makan, premis membeli-belah dan lokasi pelancongan sekitar pulau bebas cukai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, hasil pemeriksaan mendapati masih ada pengunjung yang tidak memakai pelitup muka dan tidak mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

"Daripada jumlah kompaun yang dikeluarkan itu, 12 individu gagal mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera dengan ada yang memberi alasan lupa dan tidak tahu (perlu) untuk mengimbas di aplikasi berkenaan.

"Tiga lagi individu dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Ahad.

Menurutnya, pemeriksaan bermula jam 10 pagi itu dibuat untuk memastikan semua pengunjung mematuhi SOP Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang masih berkuatkuasa.

"Orang ramai dinasihatkan untuk terus kekal mematuhi SOP sekali gus melaksanakan kawalan kendiri sebaik mungkin dalam menghadapi cabaran penularan virus ini," katanya.

Artikel Berkaitan: