X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Panduan bagi bayaran balik PTPTN dengan diskaun

PTPTN mengeluarkan panduan mengenai pelaksanaan pembayaran balik pinjaman dengan diskaun yang bermula pada 1 November ini.
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengeluarkan panduan mengenai pelaksanaan pembayaran balik pinjaman dengan diskaun yang bermula pada 1 November ini.

PTPTN dalam kenyataan pada Sabtu berkata, peminjam yang hendak membuat penyelesaian penuh pinjaman atau bayaran balik sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran perlu mendapatkan pengesahan baki hutang melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN bermula Isnin ini.

Menurut kenyataan itu, untuk peminjam yang ingin membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus, mereka perlu membuat permohonan secara dalam talian di https://www.ptptn.gov.my/potonggajionline/ bagi potongan gaji dan https://www.ptptn.gov.my/direct_debit/direct_debit.html (debit terus).

PTPTN turut memaklumkan bahawa peminjam yang sedang membuat bayaran balik pinjaman melalui potongan gaji atau debit terus juga layak mendapatkan diskaun 10 peratus tertakluk kepada bayaran balik yang diterima oleh PTPTN mulai 1 November 2021 hingga 30 April 2022.

“Insentif diskaun akan dikemaskini di dalam akaun pinjaman peminjam pada akhir setiap bulan dan peminjam boleh membuat semakan penyata masing-masing mulai 7 hari bulan pada bulan berikutnya,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November hingga 30 April 2022 dalam pembentangan Bajet 2022.

Ia meliputi diskaun sebanyak 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman dan diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran serta diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

Dalam pada itu, PTPTN menerusi kenyataan yang sama turut melahirkan penghargaan terhadap kerajaan di atas persetujuan untuk pemberian insentif diskaun bayaran balik kepada peminjam PTPTN dalam Bajet 2022.

Menurut kenyataan itu, insentif diskaun bayaran balik yang diumumkan itu akan memberi manfaat kepada 1.67 juta peminjam.

“PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga berharap agar para peminjam akan terus menyokong usaha Kerajaan dalam melestarikan dana pembiayaan pendidikan dengan melaksanakan tanggungjawab membayar balik pinjaman untuk masa depan pendidikan generasi akan datang.

“PTPTN sentiasa komited dan bersedia untuk membantu peminjam selaras dengan inisiatif #PTPTNSediaBantu,” kata kenyataan itu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!