Bajet 2022 disambut baik

Keluarga Malaysia membeli barangan keperluan harian di Pasar Tani Putrajaya semasa tinjauan fotoBernama selepas pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. -Foto Bernama
Keluarga Malaysia membeli barangan keperluan harian di Pasar Tani Putrajaya semasa tinjauan fotoBernama selepas pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bajet 2022 dengan peruntukan RM332.1 bilion yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada Jumaat mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat negara ini.

Antara perkara yang menjadi tumpuan pakar ekonomi ialah pelaksanaan cukai jualan ke atas barang bernilai rendah dari luar negara oleh peniaga dalam talian dan dihantar kepada pengguna di Malaysia menggunakan perkhidmatan kurier udara.

Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pengenaan cukai ke atas barang murah dari luar negara akan membantu menambah hasil negara.

“Ia juga akan membantu peniaga tempatan bersaing dengan peniaga luar dalam talian dengan menawarkan produk yang sama kualiti pada harga lebih kurang sama.

“Pengguna mungkin tidak berpuas hati kerana tidak dapat membeli barangan yang lebih murah namun kita harus memikirkan kesan jangka panjang kepada negara,” katanya kepada Sinar Ahad.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, kesan jangka panjang itu termasuklah dari segi aliran mata wang keluar.

Pakar kesihatan pula menyifatkan cadangan kerajaan untuk mengenakan cukai ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin iaitu rokok elektronik dan vape adalah baik bagi menggalakkan orang ramai berhenti melakukan aktiviti tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dr Malina Osman
Dr Malina Osman

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, mengenakan cukai menjadikan barangan itu lebih sukar diperoleh berbanding kini dan mengubah cara hidup individu.

“Ini antara faktor menggalakkan masyarakat berhenti daripada aktiviti yang tidak bermanfaat kepada kesihatan selain mengelakkan lebih ramai anak muda terjebak,” katanya.

Selain vape, kerajaan turut bercadang meluaskan duti eksais ke atas produk minuman bergula dalam bentuk pracampuran berasaskan coklat atau koko, malt, kopi dan teh dalam usaha menjayakan gaya hidup sihat rakyat.

Bagaimanapun, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mohammad Farhan Rusli berkata, cadangan mengenakan cukai kepada barangan nikotin itu memberi manfaat kepada ekonomi negara sahaja.

Cadangnya, barangan yang mendatangkan kesan negatif itu seharusnya tidak dibenarkan dijual dan dibeli dalam negara.

“Cukai bukan penyelesaian holistik. Kalau ia bahaya, sepatutnya tidak perlu lagi ada di negara ini,” ujarnya.

Sementara itu, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menyambut baik langkah kerajaan memansuhkan Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) ke atas rumah yang dilupus pada tahun keenam dan seterusnya oleh rakyat Malaysia dan penduduk tetap negara.

Presidennya, Datuk Ir Soam Heng Choon berkata, RPGT pada mulanya diperkenalkan untuk membendung spekulasi apabila pasaran hartanah rancak, namun di bawah keadaan pasaran semasa yang semakin merudum, langkah tersebut amat dialu-alukan.

“Kami berharap langkah itu akan membantu menggiatkan pasaran hartanah kami untuk menjadikannya lebih berdaya tahan dan akhirnya diterjemahkan kepada kesan pengganda yang positif terhadap ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sentimen kerajaan tentang keperluan rumah untuk semua terutama B40 turut disokong Rehda.