Misi gempur Thailand

Skuad negara bakal berdepan ujian getir menentang Thailand di Stadium MFF, Ulaanbaatar pada Ahad. -Foto: FB FAM
Skuad negara bakal berdepan ujian getir menentang Thailand di Stadium MFF, Ulaanbaatar pada Ahad. -Foto: FB FAM
A
A
A

SKUAD Bawah 22 tahun (B-22) negara tampil cemerlang apabila menoktahkan kemenangan ke atas Laos dan Mongolia dalam dua aksi awal Kumpulan J Kelayakan Piala Asia B-23 2022.

Menjelang aksi terakhir Kumpulan J menentang Thailand di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Mongolia pada Ahad, pengendali Malaysia, Brad Maloney mahu anak-anak buahnya mengekalkan momentum sedia ada.

Malah, Maloney sedia mengekalkan taktikal sama apabila berdepan Thailand selepas melihatkan skuad kendaliannya beraksi baik dalam aksi menentang Laos dan Mongolia.

“Thailand sememangnya sebuah pasukan yang baik dan kami menghormati mereka. Namun, saya akan kekal dengan pelan yang sudah diatur.

“Pendekatan yang akan digunakan esok (Ahad) tidak akan berubah kerana ia sangat berkesan apabila kami berjaya mencapai sasaran dalam dua perlawanan awal.

“Setakat ini, saya berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan pemain-pemain. Tetapi ada tugas berat yang perlu dilakukan dan saya berharap mereka dapat bersaing dengan baik menentang Thailand,” katanya pada Sabtu.

Malaysia kini menerajui Kumpulan J apabila mengutip enam mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Laos dan Mongolia. Thailand pula di tangga kedua dengan meraih empat mata diikuti Mongolia (satu) dan Laos tanpa sebarang mata.

Kedudukan itu menyaksikan Malaysia kini berpeluang cerah layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2022 selaku juara Kumpulan J sekiranya menewaskan Thailand.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Maloney berkata, beliau tidak mahu menjadikan masalah padang sebagai alasan buat anak-anak buahnya untuk mencapai sasaran ditetapkan ketika menentang Thailand.

“Semua pasukan memahami masalah padang yang dihadapi ketika ini yang menyebabkan mereka susah untuk bermain dalam kondisi tersebut.

“Seperti yang saya cakap sebelum ini, masalah itu agak sukar dikawal, Jadi pemain perlu fokus dan beri persembahan terbaik setiap kali turun ke padang,” ujarnya.