RM350: Orang bujang tarik nafas lega

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan bujang yang berpendapatan kurang RM2,500 menarik nafas lega apabila mereka turut menerima bantuan RM350 di bawah inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Seorang kakitangan syarikat swasta, Nur Arina Safarin Omar, 26, memberitahu, dia berasa sangat lega kerana golongan bujang tidak disisih daripada menerima bantuan tersebut.

“Alhamdulillah, pemberian sebanyak RM350 itu cukup bermakna buat kami kerana membantu meringankan sedikit beban akibat pandemik Covid-19,” kata wanita kelahiran Pulau Pinang itu kepada Sinar Ahad.

Seorang kakitangan Arkib Negara, Norazam Azni Shah, 24, pula, bersyukur dengan bantuan tersebut kerajaan kerana setidak-tidaknya ia dapat menampung keperluan harian ataupun membuat simpanan tabung kecemasan.

“Saya rasa bantuan tersebut wajar diteruskan sehingga Malaysia berada dalam keadaan yang lebih baik sekali gus meningkatkan kembali ekonomi negara,” katanya yang berasal dari Sarawak.

Sementara itu, seorang guru sementara, Wan Amirah Wan Ibrahim, 25, berpandangan perlu ada pertambahan bantuan lain seperti diskaun pembelian ataupun pemberian baucar kepada golongan bujang yang berpendapatan rendah.

“Kerajaan juga wajar menyediakan Skim Rumah Sewa khusus kepada golongan bujang yang berpendapatan bawah RM2,500.

“Ini sedikit sebanyak membantu golongan bujang yang baru memulakan pekerjaan, lebih-lebih lagi yang terpaksa menetap di ibu kota,” katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Artikel Berkaitan: