Kemala yang gigih dan degil

Kemala meninggal dunia pada usia 80 tahun.
Kemala meninggal dunia pada usia 80 tahun.
A
A
A

SASTERAWAN Negara Kemala sudah pergi tanpa sempat bertemu sahabat handai sejak pandemik melanda. Kemala atau Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah sebenarnya tidak pergi mendadak kerana sudah sekian lama juga beliau menanggung derita kemerosotan kesihatan akibat komplikasi buah pinggang.

Perlahan-lahan beliau menghantar isyarat bahawa beliau tidak lagi mampu berada di pentas sastera kerana keuzuran sebegitu bukanlah suatu perulangan antara sakit dengan sihat, bahkan mengikut adatnya, sukarlah kesihatan dapat dikembalikan seperti sediakala.

Sahabat handai dan saudara dalam sastera tidak dapat menziarahinya lantaran kekangan akibat pandemik Covid-19. Kesihatannya yang sangat uzur hanya disedari sahabat handai apabila gambarnya duduk di kerusi roda berlegar dalam grup WhatsApp.

Tanpa pamitan, pada 27 Oktober 2021 kira-kira pukul 12 tengah hari, bekas Pengerusi Masjid Abdul Rahman Auf ini didapati telah pergi semasa tidur di rumahnya, di Taman Union, Jalan Kelang Lama dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara, dalam kariah rumah anaknya.

Saya terkilan kerana gagal menziarahinya ketika beliau masih hidup, apatah lagi peluang menziarahi Kemala pada hujung hayatnya tidak dapat saya sambut.Pada hari Maulidur Rasul 19 Oktober lalu, Saudara Mohamed Nasser Mohamed, Pemeriksa Kira-Kira Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang juga wakil penerbit buku Qasyaf 80 mengajak saya ke rumah Kemala untuk menghantar buku tersebut. Namun, saya tidak sempat menyertai kunjungan itu kerana terlibat acara baca puisi Maulidur Rasul yang saya kendalikan.Menurut Nasser, mereka (bersama dengan Sherly Idris dan Dr Fazilah Hussin penyelenggara Qasyaf 80 pun pada mulanya tidak dapat masuk ke rumah Kemala lantaran keengganan keluarganya menerima tamu. Namun, mereka akhirnya diterima masuk menemui Kemala yang hanya terbaring di katil.

Kemala begitu gembira menerima tamu serta buah tangan terakhir untuknya, iaitu antologi puisi dan catatan bagi mengingati dirinya, suatu sosok peribadi sasterawan yang sukar ditandingi. Malahan, Kemala turut meminta Nasser membaca puisi yang terdapat dalam antologi itu.

Siapakah Kemala?

Lahir pada 30 Januari 1941 di Gombak, Selangor, Kemala ialah sasterawan yang punya pesona tersendiri, bukan sahaja dari sudut karyanya terutama puisi, malah sebagai aktivis sastera yang berencana dan gigih serta “degil”.

Artikel Berkaitan:

Anugerah Sasterawan Negara ke-11 pada tahun 2011 merupakan kemuncak pengiktirafan negara terhadap sumbangan dan pencapaiannya.

Selepas bergelar Sasterawan Negara, Kemala tidak berehat daripada bekerja untuk sastera negara. Beliau terus menabur bakti dalam bentuk penulisan, penyuburan bakat penulis baharu, mahupun dalam gerakan menjalin hubungan sastera di peringkat serantau, malahan mendunia.Satu persatuan yang dipimpinnya sehingga nafas terakhir yang begitu sinonim dengan dirinya ialah Persatuan Sasterawan Nusantara Malaysia (Numera atau Nusantara Melayu Raya). Kegigihannya membangunkan Numera sangat jelas. Dengan hanya bantuan beberapa orang yang rapat dengannya, beliau tidak mempedulikan sambutan turun naik daripada khalayak sastera yang direncamkan oleh kepelbagaian kabilah sastera di negara ini.

Kemala seorang aktivis sastera yang gigih dan saya anggap sebagai “degil”. Apakah maksud kedegilan itu?

Biarpun pada awalnya program anjuran Numera berlangsung dalam kelompok yang kecil dan terbatas, beliau tidak berputus asa, malahan tetap gigih menjadikannya besar dan berimpak.

Biarpun usianya semakin memakan tenaga dan pemikiran, “punca kuasa” juga kian menipis lantaran tidak lagi bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan pembantu setianya juga hanya beberapa “kerat” dan silih berganti, Kemala tetap meneruskan pacuannya di litar sastera.

Di tangannya, Numera berupaya menonjolkan imej sastera Malaysia di peringkat antarabangsa kerana hubungan peribadinya dengan penulis luar negara. Bangladesh, Indonesia, Rusia, Brunei, Singapura, misalnya, menjadi negara sahabatnya menyebarkan sastera Malaysia.

Numera juga menjadi punca kuasa untuk memberikan pengiktirafan kepada sasterawan di Nusantara dengan pelbagai nama anugerah seperti Anugerah Persuratan Dunia Numera, Tokoh Serikandi Numera dan Anugerah Patria Numera. Sekurang-kurangnya usaha tersebut telah memberikan imej kepada Numera sebagai sebuah entiti yang berkuasa, setaraf agensi rasmi pemerintah.

Beliau bertuah kerana mempunyai sahabat serta pembantu yang setia untuk melaksanakan programnya. Para petinggi agensi kerajaan dan ahli korporat juga tetap hadir dalam setiap programnya tanpa gagal. Hubungannya dengan DBP sangat akrab sehingga tiada sebarang kekangan baginya untuk mengadakan program di DBP di samping mendapat bantuan dana pelaksanaan.

Kerohanian

Kemala ialah sasterawan tulen yang prolifik. Buku puisinya sentiasa menjadi karya monumental seperti Timbang Terima (1970), Meditasi (1972), Era (1975), Kaktus-Kaktus (1976), Ayn (1983), Pelabuhan Putih (1989), Titir Zikir (1995), Mim (1999), dan Ziarah Kudup (2006). Kumpulan cerpen beliau ialah Anasir (183), Firuzia, Firuzia (1990), Laut Takjub: 25 Cerpen Pilihan (2010). Karya dramanya ialah Di Bumi Lain (1976), Malam Perhitungan (1966), Anna (1972), Kelongsong (1985), dan Pending Numera (2010).

Di samping menghasilkan karya kreatif, Kemala juga sarjana sastera yang banyak meninggalkan tulisan yang informatif dan kritis: Sastera dalam Esei (1983), Unsur-Unsur Islam dalam Puisi Melayu Moden (1988), Gejala: Esei dan Kritikan Puisi Melayu Moden 1955-1986 (1989), Gagasan: Sejumlah Esei tentang Puisi (1990), Kesusasteraan Bandingan dalam Perbincangan (1994), Landskap Ungu: 30 Esei Pilihan (2010), dan Simbolisme dalam Puisi Islam Malaysia 1970-1990 (2010).

Pencapaiannya mendapat imbalan apabila menerima pelbagai anugerah seperti Hadiah Sastera Malaysia/Hadiah Sastera Perdana (1972, 1995, 1999), SEA Write Award (1986), Gelar Pujangga daripada UPSI (2005), Anugerah Sasterawan Negeri Selangor Darul Ehsan (2005), Anugerah Abdul Rahman Auf (2006), Anugerah Sasterawan Negara (2011), dan Literary Award daripada Kathak Community di Bangladesh (2015).Dalam sejarah aktivismenya, selain mengasaskan dan menggerakkan Numera, Kemala pernah menyumbangkan bakti sebagai Setiausaha Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) (1972-1974), Ahli Jawatankuasa GAPENA mulai 1974; Ketua Satu Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) (1983-1984 dan 1986-1987), pengasas Persatuan Sastera Bandingan Malaysia (1993), dan mempelopori Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (PPDKL) sejak 1986 yang bertahan beberapa kali. Sumbangannya juga tercatat sebagai pengasas jurnal Perisa terbitan DBP, khusus untuk puisi, tetapi kemudiannya dihentikan penerbitannya.

Itulah Kemala dan sumbangannya yang monumental. Puisinya memiliki idiosinkrasi atau gaya pengucapan yang mencitrakan peribadi dan kecenderungannya terhadap puisi sufistik. Puisinya sarat dengan sentuhan nilai kerohanian melalui imej-imej yang besar sehingga kadang-kadang sukar difahami oleh pembaca sekiranya mereka tidak memiliki pengetahuan kontekstual dan subteksnya. Begitupun, tanpa bekalan itu puisinya masih hidup dalam lontaran suaranya kerana struktur puisinya cenderung memenuhi keperluan deklamasi.

Demi meminjam kemasyhuran dan mengekalkan legasinya, pada tahun 2016, saya meminta izin daripada beliau untuk menggunakan larik puisinya untuk menghiasi kemeja-T PENA.

Beliau segera memberikan persetujuan lalu mencadangkan beberapa ungkapan puisinya walaupun saya telah memilih larik puisinya yang lain. Lalu tercetaklah ungkapan berikut: “Luka kelmarin menumbuhkan lagu dan puisi untuk makna sejarah dan zaman yang lebih bererti”.

Ternyata, walaupun “degil” dan gigih melaksanakan setiap perancangannya dalam Numera, Kemala masih boleh berkompromi dengan pandangan orang lain. Dan larik puisinya itu akan tertera di dada pemakai kemeja-T tersebut selagi dipakai orang.

Kini sejarah Kemala sudah sampai ke titik akhir. Tugasnya perlu disambung oleh pendampingnya atau orang lain yang segigih dan sedegil beliau.

Semangatnya tetap menyala meskipun dalam keuzuran. Beliau masih bercita-cita mahu menubuhkan muzium sasteranya di Sandakan, Sabah. Hasrat ini disampaikan melalui hantaran mesej kepada saya semasa PENA sedang sibuk menguruskan pelaksanaan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ke-2 pada April 2021 di Rumah PENA. Adakah sesiapa yang sanggup menunaikan hasratnya itu? Selamat jalan Kemala. Semoga Allah memberikan tempat yang baik kepada beliau di alam abadi.

*Dr Mohamad Saleeh Rahamad ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya dan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)