Bersih 2.0 desak SPRM jalankan siasatan

Thomas Fann
Thomas Fann
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan susulan Laporan Ketua Audit Negara berhubung kerugian dan pembaziran sebanyak RM620.07 juta dialami kerajaan pada tahun 2020.

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata, persoalan penting ialah siapa bertanggungjawab dengan perkara tersebut dan apakah tindakan yang akan diambil.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan apakah langkah-langkah akan diambil untuk menuntut semula wang-wang tersebut.

"Agensi-agensi siasatan seperti SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus membuka siasatan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara itu.

"Maklumkan kepada umum status siasatan. Jika tiada sebarang tindakan diambil, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan akan terus merosot," katanya kepada kru Rasuah Busters pada Jumaat.

Pada Khamis, Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, ketidakpatuhan kementerian dan jabatan Persekutuan terhadap pengurusan kewangan menyebabkan isu pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran kepada kerajaan berjumlah RM620.07 juta pada tahun 2020.

Beliau berkata, daripada RM510.49 juta pembayaran tidak teratur, sebanyak RM499.19 juta melibatkan bayaran tuntutan perkhidmatan penyenggaraan tanpa pengesahan di Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara daripada RM104.79 juta kerugian wang awam, sebanyak RM81.69 juta merupakan penalti belum tuntut dan tidak dikenakan Jabatan Imigresen, manakala pembaziran RM4.79 juta melibatkan peralatan lewat diterima dan tidak dipasang di Istana Budaya.

Artikel Berkaitan:

Bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan, Ketua Audit Negara telah mengemukakan 29 syor iaitu empat syor untuk pengesahan penyata kewangan dan 25 syor untuk pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan Persekutuan untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh kementerian serta jabatan.