Sila log masuk terlebih dahulu.

Kenaikan had hutang 65 peratus untuk biaya defisit bajet, RMK12

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peningkatan had hutang statutori kepada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bertujuan membolehkan kerajaan mempunyai lebih banyak ruang untuk membiayai defisit bajet dalam jangka sederhana serta menampung pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12.

Ketika menegaskan kepentingan langkah itu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, walaupun had hutang itu dinaikkan kepada 65 peratus, apa yang lebih utama adalah kemampuan kerajaan untuk membayar semula pinjaman tersebut.

“Jikalau kita bertindak secara melulu dengan tiba-tiba tidak mahu berbelanja atau membuat polisi fiskal yang mengembang, maka ekonomi kita (sebaliknya) tidak dapat pulih lebih cepat daripada yang diharapkan.

“Oleh itu, tanggungjawab utama kerajaan adalah untuk memastikan kedudukan kewangannya kekal stabil supaya ia bersedia serta berupaya melaksanakan langkah kitaran balas sekiranya krisis berlaku,” katanya dalam program wawancara khas 'Bajet 2022 Dari Rakyat Untuk Rakyat' yang disiarkan di Bernama TV dan Astro Awani, malam ini.

Tengku Zafrul berkata, unjuran hasil kerajaan bagi 2022 adalah tidak mencukupi untuk membiayai kesemua program-program diumumkan dalam Bajet 2022 pada Jumaat, terutama bagi projek-projek besar.

Menurutnya, berikutan itu kerajaan akan mempunyai defisit sebanyak 6.0 peratus berdasarkan pertumbuhan KDNK sekitar 5.5 peratus dan 6.5 peratus pada tahun depan.

“Ini kurang daripada defisit tahun ini yang diunjurkan 6.5 peratus. Tapi, oleh kerana KDNK kita dijangka bertambah baik pada tahun depan, ini membantu menurunkan kadar defisit walaupun kita mempunyai polisi fiskal mengembang dengan jumlah peruntukan RM332.1 bilion.

“Oleh itu, 6.0 peratus ini lebih kurang RM100 bilion defisit yang perlu kita biaya melalui hutang. Alhamdulillah, kita mempunyai keupayaan untuk meminjam pada tahun depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ketika pengumuman Bajet 2021, kerajaan menjangkakan bahawa 2022 sebagai tahun pemulihan.

Bagaimanapun, katanya, bajet tersebut dirangka sebelum penghasilan vaksin Covid-19 serta kewujudan varian-varian baharu seperti Delta.

“Sehubungan itu, kita tidak boleh menganggap situasi ini tidak boleh berlaku. Kita perlu sentiasa menjangkakan keadaan itu dan perlu ada perancangan lain,” katanya.

Beliau menegaskan atas alasan itu, Dewan Rakyat pada 11 Oktober lepas telah meluluskan peningkatan had siling Kumpulan Wang Covid-19 daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion serta kenaikan had hutang statutori kerajaan Persekutuan kepada 65 peratus daripada KDNK berbanding 60 peratus.

“Menerusi kelulusan ini, kerajaan telah mempunyai ruang untuk meminjam dan berbelanja lebih demi membantu dan kesejahteraan rakyat serta kelangsungan perniagaan,” katanya.

Menyentuh cabaran utama menyediakan Bajet 2022, Tengku Zafrul berkata, ia melibatkan aspek merangka belanjawan yang mampu memenuhi keperluan pelbagai pihak, terutama apabila kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk membantu rakyat serta perniagaan sejak tahun lepas.

Tengku Zafrul membentangkan Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera di Dewan Rakyat pada Jumaat yang melibatkan peruntukan RM332.1 bilion iaitu tertinggi berbanding sebelum ini dengan menumpukan usaha memulihkan setiap segmen sosioekonomi negara ini.

Jumlah itu merangkumi RM233.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19. - Bernama